SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dan Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba mengadakan perbincangan mengenai krisis Russia-Ukraine menerusi panggilan telefon, lapor agensi berita Anadolu.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata: “Mereka membincangkan mengenai tentera Russia ditempatkan di sepanjang sempadan Ukraine dan langkah yang diambil Ukraine dan Amerika Syarikat untuk menggalakkan Russia meneruskan diplomasi berbanding peperangan serta memastikan keselamatan dan kestabilan.”
Berkongsi dengan Kuleba mengenai pertemuannya dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov baru-baru ini, Blinken juga mengulangi “kesediaan menangani kebimbangan keselamatan bersama dan sokongan tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.”
“Blinken juga menjelaskan kesediaan AS, bersama sekutu dan rakan kongsinya untuk mengenakan tindakan yang cepat dan tegas ke atas Russia jika ia memilih untuk menyerang,” kata Price.
Russia baru-baru ini menghimpunkan puluhan ribu tenteranya berhampiran sempadan timur Ukraine, mencetuskan kebimbangan Kremlin merancang satu lagi serangan ketenteraan terhadap bekas jirannya dalam Soviet Union.
Moscow menafikan ia sedang bersedia untuk menyerang dan berkata tenteranya berada di sana untuk sesi latihan. – Bernama, 5 Februari, 2022.
Komen