Bekas kakitangan kedutaan ditahan mengintai


Kedutaan di Bangkok antara kedutaan terbesar Australia di luar negara. – Gambar Department of Foreign Affairs and Trade, 5 Februari, 2022.

SEORANG bekas kakitangan kedutaan Australia di Bangkok, Thailand didakwa selepas beberapa kamera pengintip ditemui di bilik mandi wanita di pejabat itu, kata seorang pegawai kerajaan di Canberra.

Jabatan hal ehwal luar dan perdagangan Australia mengesahkan polis Thailand menahan seorang bekas kakitangan warga tempatan bulan lalu.

“Kebajikan dan rahsia peribadi setiap kakitangan tetap menjadi keutamaan jabatan dan kami memberikan sokongan sewajarnya,” kata jurucakap jabatan itu dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu enggan mengulas lanjut mengenai tindakan undang-undang yang sedang dilakukan.

Komander bahagian hal ehwal luar Polis Diraja Thailand, Khemmarin Hassiri berkata, kedutaan Australia memfailkan aduan terhadap seorang lelaki pada 6 Januari dan siasatan sedang dijalankan.

Tidak jelas berapa lama kamera itu ditempatkan di dalam bilik mandi tetapi kewujudannya terbongkar selepas kad SD kamera ditemui di lantai bilik mandi tahun lalu, seperti dilaporkan ABC Australia.

Insiden itu satu pelanggaran keselamatan yang serius, kata seorang pakar pertahanan dan dasar luar Australia.

“Jika keselamatan cukup longgar untuk membolehkan peranti seperti kamera dipasang di mana-mana dalam kawasan selamat, ia menunjukkan ia tidak cukup ketat untuk memastikan keselamatan pejabat kedutaan,” kata profesor kajian strategik di Universiti Nasional Australia, Hugh White. – AFP, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen