ASEAN berharap supaya disegerakan penghantaran pulang secara sukarela pelarian Myanmar dalam cara yang selamat, terlindung dan bermaruah tanpa berlengah lagi, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Aean turut menegaskan tentang keperluan untuk mencari penyelesaian yang tuntas dan teguh bagi menangani punca utama konflik itu serta mewujudkan persekitaran kondusif agar komuniti yang terjejas dapat membina semula kehidupan mereka, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di akhir Permukiman Menteri-Menteri Luar Asean, di Singapura hari ini.
Permukiman itu adalah perhimpunan pertama Menteri-Menteri Luar Asean di Singapura dengan Singapura selaku pengerusi Asean pada 2018.
Menteri Luar Malaysia Anifah Aman menghadiri permukiman itu.
Dr Vivian berkata pada permukiman itu, menteri-menteri berkenaan diberi taklimat oleh Myanmar berhubung situasi kemanusiaan di Negeri Rakhine.
Menteri-menteri berkenaan menyatakan sokongan berterusan mereka kepada program bantuan kemanusiaan Myanmar di Negeri Rakhine, kata Dr Vivian.
Beliau berkata mereka turut menyambut baik tugas pengurusan bencana yang sedang dijalankan oleh Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dengan mekanisme diketuai kerajaan Myanmar untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada semua pelarian tanpa diskriminasi.
Dr Vivian berkata menteri-menteri itu turut menyatakan sokongan kepada kerajaan Myanmar dalam usahanya untuk membawa keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang, menggalakkan keharmonian dan perdamaian dalam kalangan pelbagai komuniti, di samping memastikan pembangunan yang lestari dan saksama di Negeri Rakhine.
“Kami menyambut baik Perjanjian mengenai Penghantaran Pulang Pelarian dari Negeri Rakhine antara Myanmar dan Bangladesh yang ditandatangani pada 23 November 2017,” katanya.
Pada sidang media, Dr Vivian selanjutnya menegaskan: “Pada dasarnya, apa yang kita perlukan adalah penyelesaian politik jangka panjang. Itulah satu-satunya cara anda dapat membina semula kehidupan, komuniti, kepercayaan dan kemudian, anda boleh melangkah ke hadapan.
“Jadi, ini bukanlah isu yang boleh diselesaikan dengan cara yang pantas, bagaimanapun amat penting untuk membuat diagnosis yang betul dan kemudian bekerja bersama-sama untuk menanganinya,” katanya. – Bernama, 6 Februari, 2018.
Komen