Hanya seorang penyerang letup lapangan terbang Kabul, bukan IS


Sekurang-kurangnya 160 rakyat Afghanistan dan 13 tentera AS terbunuh ketika beribu-ribu orang bersesak untuk meninggalkan negara itu dari Lapangan Terbang Kabul pada 26 Ogos lalu. – Gambar EPA, 5 Februari, 2022.

PENTAGON mendapati tindakan seorang penyerang bom nekad meletupkan dirinya sebagai punca kematian sekurang-kurangnya 173 orang termasuk 13 tentera Amerika Syarikat (AS) di Lapangan Terbang Kabul, tahun lalu.

Hasil siasatan itu turut menolak serangan itu dilakukan lebih seorang pelaku dalam insiden pada 26 Ogos lalu ketika operasi pemindahan dijalankan di lapangan terbang berkenaan walaupun kumpulan IS mengaku bertanggungjawab.

Brigadier Jeneral Lance Curtis berkata walaupun beberapa tembakan dilepaskan selepas pengeboman, ia hanya amaran dan tiada seorang pun maut.

“Tiada kesan tembakan dalam kalangan mangsa, sebaliknya mereka terkena serpihan bom itu, yang lukanya boleh kelihatan seperti luka tembakan.

“Kita kini tahu bahan letupan itu melepaskan bebola besi yang menyebabkan luka seperti terkena tembakan.

“Apabila digabungkan dengan sebilangan kecil tembakan amaran, itu menyebabkan ramai menganggap serangan besar-besaran berlaku,” katanya yang membentangkan hasil siasatan, semalam.

Pada kejadian itu, sekurang-kurangnya 160 rakyat Afghanistan dan 13 tentera AS terbunuh ketika beribu-ribu orang bersesak untuk meninggalkan negara itu menggunakan pengangkutan udara diuruskan AS.

Kejadian itu juga menyebabkan 45 anggota tentera AS cedera, beberapa orang mengalami kecederaan otak akibat gegaran letupan.

Pelaku yang ditunjukkan dalam video tunggal siasatan pengeboman berpakaian hitam, kemudian dikenal pasti sebagai ahli Daesh iaitu Abdul Rahman Al-Logari, yang dibebaskan dari penjara oleh Taliban selepas mereka menguasai Kabul pada 15 Ogos lalu. – AFP, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen