SEORANG aktivis veteran Hong Kong ditahan kerana disyaki mencetuskan kebencian menjelang protes yang dirancang diadakan bagi membantah Beijing menganjurkan Olimpik Musim Sejuk, beberapa jam sebelum majlis pembukaan diadakan.
China menguatkuasakan kekerasan di Hong Kong susulan protes pro demokrasi besar-besaran, dengan mengenakan undang-undang keselamatan negara yang membawa pendakwaan jenayah terhadap individu yang berdegil.
Wen Wei Po, akhbar pejabat penyelaras Beijing di Hong Kong, berkata Koo Sze-yiu ditahan pagi semalam.
Sumber polis mengesahkan Koo ditahan kerana “menghasut” dan empat individu lain turut ditahan bagi membantu siasatan.
Jabatan Dalam Negeri Polis Hong Berkata penahanan aktivis berusia 75 tahun itu dibuat selepas siasatan terperinci, dan dua lelaki dan dua wanita turut ditahan polis, berusia antara 59 dan 76 tahun.
“Mungkin akan ada lagi penahanan dibuat,” kata polis dalam satu kenyataan.
Penahanan Koo itu berlaku beberapa hari selepas wartawan Hong Kong menerima jemputan media atas nama Koo berkata beliau akan mengadakan protes di luar Pejabat Penyelaras Beijing pada Jumaat, sebelum Olimpik bermula.
“Ramai aktivis politik dan rakyat Hong Kong dipenjarakan dan tidak dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga kerana penyalahgunaan undang-undang keselamatan negara,” menurut jemputan itu, bertarikh 31 Januari. – AFP, 5 Februari, 2022.
Komen