SEKURANG-KURANGNYA 10 terbunuh manakala dua lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa mereka termasuk dalam kawasan periuk api di Somalia semalam, kata pihak berkuasa.
Mangsa dalam perjalanan ke Kismayo, bandar pelabuhan di bahagian selatan, ketika bas itu meletup ketika ia dipercayai terlanggar kawasan periuk api, kata pegawai keselamatan tempatan Mohamed Nur Dahir.
“Ia insiden yang mengerikan. Seramai 10 orang awam terbunuh dan dua lagi cedera dalam letupan itu yang memusnahkan bas mini yang membawa mereka.
“Pengganas menanam periuk api di laluan jalan digunakan pengangkutan awam, dan ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian,” katanya.
Kebanyakan mangsa dibawa ke Kismayo untuk mendapatkan rawatan.
Seorang penduduk, Osman Gelle yang tiba di tempat kejadian selepas letupan itu berkata sebahagian mangsa adalah penjual susu unta dari perkampungan berhampiran Kismayo.
Kismayo satu ketika dulu pernah menjadi kubu kuat kumpulan pengganas Al-Shabaab yang ada kaitan dengan Al-Qaeda.
Pada Disember 2020, lima terbunuh apabila bas yang dinaiki mereka terlanggar periuk api di selatan Somalia. – AFP, 5 Februari, 2022.
Komen