Armada cadang 30% calon PN daripada anak muda


Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan 30% calon PN bagi PRN Johor daripada kalangan anak muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2022.

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mencadangkan 30% calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipilih daripada kalangan anak muda yang berkaliber.

Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata jumlah itu, yang merangkumi 17 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertanding, dilihat mampu memberi impak dalam menarik undi orang muda di Johor.

“Untuk Armada sahaja, kita mencadangkan lima kerusi tetapi bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan semua parti.

“Armada sebahagian daripada komponen pemuda PN maka calon anak muda tidak semestinya daripada Armada sahaja, mungkin daripada Pemuda PAS, Gerakan dan mana-mana sayap parti bersekutu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Armada pusat bersama Armada bahagian di pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, Johor hari ini.

Beliau berkata, calon yang akan diketengah terdiri daripada pemimpin belia masyarakat yang berpengalaman luas dalam menyantuni penduduk dan berbakti di kawasan mereka.

Wan Ahmad Fayhsal juga berkata, Armada pusat sudah menerima cadangan daripada Armada bahagian seluruh Johor untuk dipertimbang oleh Biro Politik Bersatu.

Selain itu, katanya tiga isu utama yang dilihat menjadi tumpuan anak muda akan diberi perhatian iaitu pekerjaan bermaruah, pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berharap saluran rasmi turut membenarkan pemimpin muda tanpa mengira parti berdebat mengenai isu semasa.

Johor muncul negeri pertama melaksanakan Undi18 yang menyaksikan pertambahan sejumlah 749,731 pengundi baharu pada PRN kali ini. – Bernama, 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen