Seorang lagi mati dalam tahanan polis, kali ini di Pandamaran


SEORANG lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah di sebuah balai polis di Klang adalah yang terbaharu meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad, berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 6.50 pagi di balai polis Pandamaran.

Beliau berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi dan punca kematian masih belum dapat dipastikan.

Azri berkata, suspek kini ditahan reman tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia pada mulanya ditahan pada 1 Februari. Kami akan menyiasat kematian itu,” kata Azri dalam satu kenyataan.

Kes terbaharu itu berlaku sehari selepas seorang tahanan di Penjara Penor di Kuantan meninggal dunia selepas mengadu sakit dada.

Azri berkata, tahanan berusia 38 tahun itu dibawa ke lokap berpusat Indera Mahkota Selasa lalu untuk menghadiri perbicaraan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 hari ini.

Selepas itu, pihak hospital memaklumkan kepada polis tahanan itu meninggal dunia akibat batuk kering.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin baru-baru ini berkata, terdapat 82 kematian dalam tahanan dilaporkan antara 2015 dan November tahun lalu.

Mangsa terdiri daripada 42 Melayu, 13 Cina, 15 India dan 12 warga asing. – 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen