SERAMAI 10 kanak-kanak diselamatkan manakala tiga individu di Panama dan Costa Rica ditangkap, lapor pihak berkuasa Panama hari ini susulan operasi memberkas sindiket pemerdagangan manusia. Kanak-kanak tersebut akan dieksploitasi sindiket berkenaan sebagai pekerja seks.
“Mangsa dalam kes ini berumur antara empat dan 16 tahun dan individu yang terlibat adalah saudara terdekat kepada kanak-kanak di bawah umur itu,” kata Emeldo Marquez, seorang pendakwa kanan Panama.
Beliau menjelaskan saudara mara “memudahkan” penghantaran kanak-kanak dari bandar Baru, 525 kilometer di barat daya Panama, ke sempadan Costa Rica, untuk dieksploitasi secara seksual.
Dalam satu kenyataan, pejabat pendakwa raya Panama mengesahkan jumlah kanak-kanak yang diselamatkan ialah sepuluh orang.
Polis Panama di Baru serta pihak berkuasa Costa Rica di sempadan Barrio San Jorge dan Laurel bekerjasama untuk membongkar sindiket pemerdagangan seks serta membuat penahanan.
Marquez berkata, mereka yang ditahan boleh berdepan hukuman penjara antara 20 hingga 30 tahun. – AFP, 4 Februari, 2022.
Komen