PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut Taliban memberikan maklumat mengenai dua lagi aktivis wanita yang didakwa ditahan kumpulan itu minggu ini – menjadikan jumlah yang hilang tahun ini kepada empat orang.
Sejak kembali berkuasa pada Ogos, Taliban bertindak keras terhadap perbezaan pendapat dengan menyuraikan perhimpunan wanita secara paksa, menahan pengkritik dan memukul wartawan tempatan yang membuat liputan tunjuk perasaan.
Menurut Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA), pasukan itu telah mendapatkan “maklumat segera” mengenai laporan penahanan dua lagi aktivis wanita oleh Taliban di Kabul minggu ini.
“PBB mengulangi gesaannya agar semua aktivis wanita & saudara mara yang ‘hilang’ dibebaskan,” katanya di Twitter.
Duta khas Amerika Syarikat ke Afghanistan, Rina Amiri turut menggesa Taliban supaya menghormati hak wanita.
“Jika Taliban mencari legitimasi daripada rakyat Afghanistan & dunia, mereka mesti menghormati hak asasi manusia Afghanistan – terutamanya untuk wanita,” katanya di Twitter.
UNAMA tidak mendedahkan nama dua aktivis wanita yang hilang minggu ini, akan tetapi seorang lagi peguam bela hak asasi memberitahu AFP bahawa Zahra Mohammadi dan Mursal Ayar telah ditangkap Taliban.
“Zahra, seorang doktor gigi, pernah bekerja di sebuah klinik. Beliau telah ditangkap bersama bapanya,” kata aktivis itu sambil meminta AFP tidak mendedahkan namanya.
Ayar ditahan pada Rabu selepas rakan sekerja lelaki meminta alamatnya supaya beliau boleh datang untuk menyerahkan gajinya, kata aktivis itu.
“Begitulah beliau terperangkap. Taliban menemuinya dan menangkapnya.”
Penahanan terbaru berlaku kurang sebulan selepas sepasang aktivis wanita – Tamana Zaryabi Paryani dan Parwana Ibrahimkhel – hilang selepas menyertai tunjuk perasaan Kabul. – AFP, 4 Februari, 2022.
Komen