Pegawai tentera Afghanistan dipecat berhubung serangan di Kabul


Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengambil tindakan tegas dengan memecat pegawai kanan tentera yang didakwa cuai dalam serangan di pangkalan tentera di Kabul.– Gambar EPA, 6 Februari, 2018.

TUJUH pegawai tentera Afghanistan termasuk dua berpangkat jeneral dipecat berhubung serangan di pangkalan tentera Kabul, kata Presiden Ashraf Ghani pada Selasa, ketika Afghanistan bersedia dengan sebarang kemungkinan serangan lanjut.

Sekurang-kurangnya lima penyerang - lelaki bersenjata dan pengebom bunuh diri - melancarkan serangan pada awal pagi yang didakwa didalangi kumpulan IS pada 29 Januari, menyebabkan 11 anggota tentera terbunuh dan 16 yang lain cedera.

“Tujuh pegawai tentera berpangkat tinggi termasuk dua jeneral melakukan kecuaian. Kesemua mereka dipecat dan dirujuk untuk siasatan lanjut,” kata Ghani menerusi Twitter selepas siasatan insiden itu. 

Kerajaan Ghani yang disokong Amerika Syarikat berada di bawah tekanan awam untuk meningkatkan tahap keselamatan di ibu negaranya selepas beberapa siri serangan memperlihatkan kemampuan Taliban dan kumpulan IS untuk melancarkan serangan di bandar utama negara itu. 

Sejak 20 Januari lalu, militan bertindak menyerbu hotel mewah, meletupkan kawasan jalanan yang padat dan menyerang pangkalan tentera di Kabul, menyebabkan lebih 130 orang terbunuh. 

Serangan itu termasuk serangan bom menggunakan ambulans yang membunuh lebih 100 orang dan ratusan yang lain cedera, menimbulkan kemarahan penduduk yang bimbang dengan tindakan Taliban dan IS meningkatkan serangan mereka. 

Kabul masih dalam keadaan berhaga-jaga dengan kemungkinan serangan seterusnya.

Direktorat Keselamatan Negara, agensi risikan Afghanistan, pada Selasa merampas sebuah trak yang membawa dua tan bahan yang boleh digunakan untuk membuat bom. 

Trak berkenaan dalam perjalanan dari Kabul ke wilayah utara Parwan di mana terletaknya pangkalan udara AD Bagram, menurut kenyataan rasmi. – AFP, 6 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen