PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau pada Khamis berkata kerajaannya tidak akan menggunakan tentera bagi menghalang protes mandat vaksin oleh pemandu lori di Ottawa.
Ketua polis bandar itu telah mengemukakan idea itu semasa taklimat pada hari sebelumnya, selepas beliau tertekan dengan protes dan juga penduduk tempatan yang marah dengan gangguan bunyi hon oleh pemandu lori.
“Itu tidak ada dalam perancangan ketika ini,” kata Trudeau pada sidang media, menambah kerajaan perlu “sangat berhati-hati sebelum mengerahkan tentera terutamanya dalam keadaan menentang warganya sendiri.”
Sejak Sabtu, ibu kota Kanada dibelenggu oleh penunjuk perasaan yang diketuai pemandu lori yang menentang vaksin wajib Covid untuk perjalanan antara Kanada dan Amerika Syarikat.
Menjelang pertengahan minggu lepas, jumlah mereka telah berkurangan kepada beberapa ratus daripada 15,000 pada hujung minggu.
Trudeau, yang mengasingkan diri selepas dijangkiti Covid, berkata terpulang kepada polis untuk menangani mereka, namun menambah kerajaan persekutuan bersedia memberikan sokongan.
Pada masa sama beliau menggesa penunjuk perasaan pulang, berkata penduduk tempatan sudah cukup dengan gangguan yang disebabkan oleh penunjuk perasaan. – AFP, 4 Februari, 2022.
Komen