Bukit Aman tumpas sindiket buruh paksa di Petaling Jaya


Kalidevi Mogan Kumarappa

Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berjaya menyelamatkan tiga wanita Indonesia yang dijadikan pembantu rumah tanpa gaji oleh sindiket buruh paksa di sekitar Petaling Jaya. – Gambar ihsan PDRM, 4 Februari, 2022.

JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menumpaskan sindiket buruh paksa yang menjadikan wanita Indonesia sebagai pembantu rumah tidak bergaji di Petaling Jaya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan ATIPSOM (D3) JSJ Bukit Aman, Fadil Marsus berkata operasi itu membawa pasukan mereka ke dua kondominium mewah di bandar itu.

Pada mulanya, seorang lelaki Indonesia dan wanita tempatan berjaya ditahan dalam operasi jam 5 petang itu, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dua suspek itu dipercayai telah mengurung dan tidak membayar gaji pembantu rumah perempuan Indonesia sejak beberapa bulan.

“Hasil siasatan ke atas lelaki Indonesia itu, serbuan dilakukan ke atas sebuah lagi unit kondominium di kawasan yang sama sebelum menyelamatkan tiga wanita warga Indonesia yang dikurung sindiket itu,” katany.

Menurutnya, dua ahli sindiket itu ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Mangsa juga diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 44 akta sama, katanya yang menambah, kesemua suspek akan direman.

Tahun lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat menurunkan gred Malaysia ke kategori paling teruk dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2021.

Malaysia jatuh ke Tahap 3, selepas tiga tahun di Tahap 2, dalam laporan tersebut, menurut sumber yang memberitahu Reuters.

Jabatan Negara AS meletakkan kedudukan negara dalam Tahap 3 selepas mendapati Malaysia gagal mematuhi piawaian minimum menghapuskan pemerdagangan atau berusaha untuk mematuhinya.

Kedudukan Tahap 3 berkemungkinan akan menjejaskan akses Malaysia kepada beberapa bantuan AS, lapor portal itu.

Malaysia ketika ini menempatkan kira-kira dua juta pekerja asing, dan ramai lagi yang tidak didokumenkan.

Laman itu turut melaporkan Malaysia mempunyai lebih 170,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar, kebanyakannya Rohingya dari Myanmar.

Tiga syarikat Malaysia – Top Glove Corp Bhd, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings – telah dikenakan larangan import oleh AS berhubung dakwaan buruh paksa. – 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen