RUSSIA menutup biro stesen televisyen Jerman Deutsche Welle di Moscow dan menarik balik kelayakan kakitangannya di negara itu, sebagai tindakan balas terhadap Berlin mengharamkan saluran stesen televisyen Russia, RT yang menggunakan bahasa Jerman.
Deutsche Welle menyifatkan keputusan itu sebagai mengarut dan tindak balas yang berlebihan.
Kerajaan Jerman berkata langkah itu tidak boleh diterima dan tidak ada asas untuk dibandingkan dengan tindakan Berlin terhadap RT.
“Saya merayu kepada Russia supaya tidak menyalahgunakan masalah lesen RT untuk reaksi politik,” kata Menteri Kebudayaan Jerman Claudia Roth.
Pengumuman itu dibuat susulan ketegangan semakin meruncing antara Russia dan Barat, khususnya berhubung kebimbangan pencerobohan Russia ke Ukraine, sekutu Eropah.
Arahan penutupan stesen televisyen itu juga menandakan Kremlin dalam kedudukan yang semakin memusuhi media asing.
Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan berkata ia juga akan menamatkan semua saluran satelit Deutsche Welle di wilayah Russia.
Deutsche Welle – stesen televisyen milik Jerman – disiarkan menerusi 30 bahasa, termasuk Russia. – AFP, 4 Februari, 2022.
Komen