Presiden Xi hargai bantuan IOC terhadap sukan di China 


Presiden China, Xi Jinping turut zahirkan penghargaan kepada IOC atas sumbangan jangka panjangnya terhadap perkembangan sukan di China serta sokongan yang diberikan dalam penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.– Gambar EPA, 3 Februari, 2022.

JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) dilihat berjaya menerajui Sukan Olimpik secara berani, selain memainkan peranan penting dan tersendiri dalam mempromosi perpaduan serta kerjasama antarabangsa.

Demikian ucapan Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucaptama menerusi pautan video ketika majlis perasmian sesi ke-139 IOC, di Beijing, hari ini.

Jelas beliau, IOC mampu berbuat demikian meskipun berdepan waktu sukar tatkala dunia dicengkam penularan pandemik Covid-19.

Xi turut zahirkan penghargaan kepada IOC atas sumbangan jangka panjangnya terhadap perkembangan sukan di China serta sokongan yang diberikan dalam penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

“Dari ‘Satu Dunia, Satu Impian’ pada 2008 ke ‘Bersama ke Arah Masa Depan yang Dikongsi’ pada 2022, China secara aktif menyertai Sukan Olimpik, cekal mempertahankan semangat Olimpik, dan menjadi pendukung dan penggerak Olimpik yang ideal,” tegas Xi.

Menurut beliau, melalui penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, China menyaksikan 300 juta orang menyertai sukan ais dan salji, selain turut memperkasakan pembangunan serantau, pembinaan ekologi, inovasi hijau dan kesejahteraan rakyat.

Ia sekali gus membuka ruang yang lebih luas terhadap pembangunan sukan ais dan salji sejagat, katanya.

Beliau juga mengulangi bahawa negaranya sedaya upaya menganjurkan temasya sukan secara sederhana, selamat dan menarik, selain mempraktik moto Olimpik iaitu ‘lebih cepat, lebih tinggi, lebih kuat dan lebih bersatu’.

Presiden Xi juga mengalu-alukan kedatangan Presiden IOC, Thomas Bach dan para anggota IOC ke Beijing sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) serta mengadakan sesi ke-139 IOC tersebut.

Temasya sukan tersebut dijadual membuka tirai pada Jumaat malam. – Bernama, 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen