Putin yakin Beijing mampu anjur Sukan Olimpik berprestij tinggi 


Presiden Rusia Vladimir Putin dengan Presiden China Xi Jinping turut mengumumkan 2022-2023 sebagai "tahun kerjasama antara Rusia dengan China dalam bidang sukan dan pendidikan fizikal.– Gambar EPA, 3 Februari, 2022.

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin yakin Beijing akan menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 berprestij tinggi.

Menurut beliau, China dilihat bersiap sedia menjayakan temasya itu dengan pembinaan pelbagai kemudahan sukan, infrastuktur pengangkutan dan stadium sukan moden, sekali gus memberi suasana kondusif kepada atlet, jurulatih dan wartawan asing.

Putin berkata demikian dalam temu ramah secara bertulis bersama Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong menjelang pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

“Saya mengenali Presiden Xi sejak sekian lama dan sebagai rakan baik serta ahli politik yang berkongsi banyak pandangan sama, kami sentiasa mengekalkan komunikasi secara rapat.

“Saya segera menerima jemputan Xi untuk menghadiri Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing kerana ingin berkongsi kegembiraan dengan sahabat China dalam penganjuran temasya sukan penting ini,” kata Putin.

Beliau dengan Presiden Xi turut mengumumkan 2022-2023 sebagai “tahun kerjasama antara Rusia dengan China dalam bidang sukan dan pendidikan fizikal” serta bakal menyaksikan pelbagai acara penting buat kedua-dua negara.

Menurut Putin, program kerjasama yang diumumkan pada Disember 2021 itu bakal membabitkan 500 aktiviti berhubung sukan dalam kalangan orang ramai dan remaja, pendidikan, sains sukan serta melahirkan insan holistik. – Bernama, 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen