Ribuan rumah di Mauritius ‘bergelap’ dibadai taufan Batsirai


Sekurang-kurangnya 7,500 kediaman terputus bekalan elektrik kerana angin kencang menumbangkan pokok, menimpa laluan elektrik, menurut lembaga elektrik tempatan. – Gambar AFP, 3 Februari, 2022.

RIBUAN rumah terputus bekalan elektrik akibat taufan yang melanda di Mauritius semalam, tetapi tidak mengalami kemusnahan teruk.

Taufan tropika Batsirai melepasi jarak 130 km di pulau destinasi percutian terkemuka itu, membawa hujan lebat dan angin berkelajuan 120 km per jam.

Paling laju taufan itu direkodkan di Port Louis dengan 151 km per jam.

Wilayah Perancis di Lautan India, La Reunion kira-kira 230 km di barat daya Mauritius, berada dalam keadaan berjaga-jaga dan penduduk diingatkan kekal berada dalam rumah apabila taufan dijangka bergerak laju semalaman melepasi pantainya.

Rutin harian bagai terhenti di Mauritius apabila operasi pengangkutan awam terhenti, manakala kedai dan bank ditutup serta penerbangan dan pengangkutan air dihentikan sementara.

Sekurang-kurangnya 7,500 kediaman terputus bekalan elektrik kerana angin kencang menumbangkan pokok, menimpa laluan elektrik, menurut lembaga elektrik tempatan.

Rangkaian telefon juga terganggu walaupun struktur kemudahan itu hanya mengalami kerosakan kecil.

“Nasib baik taufan itu tidak melalui terus ke pulau itu seperti yang dibimbangi. Ia melepasi beberapa jarak dari pulau itu dan tidak mengakibatkan kerosakan besar,” kata Perdana Menteri Pravind Kumar Jugnauth menerusi makluman di stesen televisyen nasional. – AFP, 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen