Hukuman sebat Pati kejam, kata Teresa Kok


Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkata, cadangan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali adalah biadab dan merendahkan maruah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2022.

AHLI parlimen DAP Teresa Kok hari ini membidas seorang pegawai tertinggi polis kerana mencadangkan hukuman sebat ke atas Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang ditangkap berulang kali memasuki negara ini secara haram.

Beliau berkata, cadangan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali itu kejam dan merendahkan maruah.

“Penjawat awam kanan dan pegawai polis diingatkan sepenuhnya bahawa hukuman sebat dilihat sebagai tindakan kejam, yang menjatuhkan maruah manusia di peringkat antarabangsa.

“Ramai Pati yang menyelinap masuk ke Malaysia adalah golongan miskin dari negara jiran kita yang mencari pekerjaan di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Hazani mencadangkan kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman sebat terhadap Pati yang berulang kali memasuki negara ini tanpa permit yang sah.

Beliau berkata pendekatan ini adalah salah satu cara mengajar pendatang supaya tidak memasuki negara ini secara haram.

“Kami tidak akan berkompromi dalam isu Pati kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara,” kata Hazani kepada pemberita.

Kok berkata, cadangan tidak berperasaannya itu hanya akan menjejaskan hubungan dengan negara jiran Malaysia.

“Saya tertanya-tanya sama ada cadangan beliau untuk sebat juga akan terpakai untuk memasukkan pegawai penguat kuasa licik yang gagal dalam menjalankan tugas mereka dalam menghalang Pati daripada memasuki Malaysia.

“Dan penjawat awam yang membantu dan bersubahat dalam penyeludupan migran haram.”

Seksyen 6(3) Akta Imigresen menyebut hukuman bagi kemasukan secara haram ialah denda tidak melebihi RM10,000, atau penjara sehingga lima tahun, dan pesalah juga boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.

Kok turut menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mendidik pihak berkuasa.

“Disebabkan sikap melulu, saya menggesa Suhakam mengadakan kursus latihan hak asasi manusia untuk pegawai di agensi penguatkuasaan kita.

“Ini termasuk polis dan imigresen untuk mematuhi norma dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, semasa melaksanakan tugas mereka.

“Dan untuk mengelak daripada membuat kenyataan remeh – seperti mengenakan tindakan biadab dan kuno itu.” – 3 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen