YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan kepada Mohamad Zabidin Mohd Diah, pada majlis yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Selain itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan kepada Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan itu ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat serta Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mohamad Zabidin sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik pada 28 Julai 2006 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 26 Nov 2018.
Mohd Nazlan pula pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman mulai 10 April 2015 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Jan 2017. – Bernama, 3 Februari, 2022.
Komen