17 mati di Argentina akibat dadah campuran


SERAMAI 17 maut sementara 50 yang lain dimasukkan ke hospital di pinggir bandar Buenos Aires, Argentina selepas mengambil dadah jenis kokain, kata pihak berkuasa.

Kira-kira 10 individu ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di kawasan miskin Tres de Febrero di mana kokain itu dipercayai dijual.

Paket kokain yang serumpa seperti digambarkan keluarga mangsa, dirampas dalam serbuan itu.

Polis berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti jenis campuran dadah berkenaan tetapi memberi amaran kepada sesiapa yang membelinya dalam tempoh 24 jam lalu, untuk membuangnya.

“Bahan sangat bertoksik sedang meluas dijual dan dipasarkan sebagai kokain,” kata pejabat pendakwa raya di San Martin.

Pihak berkuasa mengeluarkan surat amaran selepas tiga hospital melaporkan beberapa kematian dan kes keracunan yang serius.

Laporan awal menyatakan mangsa mengalami kekejangan dan serangan jantung.

Disyaki bahan yang digunakan untuk kokain itu mengandungi sedatif yang terlalu kuat.

Pihak berkuasa kesihatan berkata empat mangsa adalah lelaki berusia antara 32 dan 45 tahun. – AFP, 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen