Jangan buat syarikat projek terowong 'cemas', kata Guan Eng kepada Liow


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta agar MCA dan presidennya Liow Tiong Lai agar tidak cuba mensabotaj projek lebuh raya dan terowong Pulau Pinang.

MCA dan presidennya Liow Tiong Lai tidak sepatutnya cuba mensabotaj projek lebuh raya dan terowong dasar laut Pulau Pinang dengan “menyebabkan kebimbangan” kepada kontraktor utama dan konsortium yang menjalankan projek itu, kata kerajaan negeri Pulau Pinang. 

Liow yang juga menteri pengangkutan, baru-baru ini mengadakan lawatan ke China untuk menghadiri Persidangan Kementerian Mengenai Penerbangan Awam dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya.

Beliau mengadakan pertemuan dengan pihak atasan China Railway Construction Corporation (CRCC) di Beijing, dan mengeluarkan kenyataan semalam mengenai apa yang beliau faham daripada syarikat berkenaan berhubung projek di Pulau Pinang.

CRCC merupakan kontraktor utama projek terowong dan lebuh raya, sebagaimana perjanjian awal yang ditandatangani pada Oktober 2013 oleh wakil kerajaan negeri dan Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd (sekarang Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) dan CRCC.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mendakwa Liow menyalahgunakan kuasanya di peringkat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada CRCC berhubung apa yang diberitahu syarikat pembinaan gergasi China itu kepadanya di Beijing. 

“Sejak bila Liow menjadi jurucakap kepada CRCC?” soalnya yang mendakwa pengerusi MCA itu menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. 

“CRCC tidak pernah hubungi kami, walaupun mereka memiliki kontrak dengan kerajaan negeri,” katanya pada satu sidang media hari ini. 

Liow berkata, CRCC mengesahkan kepadanya bahawa syarikat itu tidak pernah menjadi pemegang saham dalam pemacu tugas khas, Konsortium Zenith, dan tidak pernah mempunyai kontrak secara langsung dengan kerajaan negeri. 

Menteri dari MCA itu turut mengesahkan bahawa CRCC menandatangani pengakuan komitmen dan kontrak permulaan bagi projek berkenaan, termasuk membuat laporan reka bentuk terperinci bagi terowong tersebut.

Liow turut menyebut bahawa CRCC memberi jaminan akan memberi komitmen bagi projek berkontrak sedia ada dan di masa akan datang sebagaimana jadual dan bajet yang dipersetujui.
 
Lim juga berkata, kerajaan Pulau Pinang percaya CRCC akan mematuhi kontrak yang ditandatangani.

“Kerajaan negeri akan memegang CRCC dengan kewajipan kontraktual mereka dan akan mendapatkan nasihat undang-undang dengan sewajarnya.

“Kami berharap Liow dan MCA tidak cuba untuk mensabotaj projek ini dengan menimbulkan kebimangan kepada kontraktor utama dan konsortium melalui siasatan SPRM dan dakwaan palsu yang didedahkan oleh media BN yang akan menyebabkan keseluruhan projek ini gagal,” katanya. 

Projek lebuh raya dan terowong itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Lim dan pengkritiknya dari Barisan Nasional telah terlibat dalam pertikaian sejak siasatan bermula awal bulan lepas.

Kritikan BN sebelum ini membangkitkan persoalan mengani kontrak projek berkenaan, bayaran pertukaran tanah yang dibuat oleh konsortium untuk kerja kajian 
kelayakan dan reka bentuk terperinci dan pembabitan pemegang saham dalam konsortium. 

Hari ini, seorang lagi pemimpin MCA Dr Wee Ka Siong mendakwa setiusaha kerajaan negeri Pulau Pinang dilaporkan berkata pada Mac 2013 bahawa CRCC adalah pemegang saham dalam konsortium, Lim memberitahu mereka agar tidak mengganggu penjawat awam itu. 

“Jangan babitkan beliau dalam perkara ini ketika SPRM masih menjalankan siasatan. Sebagai penjawat awam beliau tidak boleh mengulas ketika siasatan sedang berjalan. Beliau akan jelaskan apabila siasatan selesai.

“Jika mereka mahu mendapatkan kelebihan politik, mereka boleh datang kepada saya. Keseluruhan serangan itu ditujukan kepada saya,” kata setiausaha agung DAP itu.

Setiausaha kerajaan negeri itu mengetuai lembaga tender negeri, yang telah menganugerahkan projek mega itu kepada Konsortium Zenith pada tahun 2013. Lim mengulangi bahawa lembaga tender tidak mempunyai exco kerajaan negeri di dalamnya.

“Keputusan itu dibuat kerana syarikat berkenaan memberi tawaran terbaik, dan memenuhi syarat dalam tender terbuka, termasuk syarat modal minima RM381 juta. 

“Perkara utama adalah sama ada syarikat berkenaan memiliki RM381 juta. Jika tidak, ia tidak akan menang dalam saingan tender terbuka. Kamu gagal dalam senarai yang dikehendaki, kamu terkeluar.”

Pada 2013 dilaporkan bahawa konsortium mempunyai bayaran modal RM4.6 bilion ketika perjanjian dimeterai. Bagaimanapun, rakan kongsi dalam konsortium bertukar sejak beberapa tahun, seperti satu lagi syarikat gergasi China Beijing Urban Construction Group (BUCG) yang keluar. 

Lim berkata, ketika perjanjian dimeterai, kerajaan negeri bertegas mengenai syarikat mana yang akan dijadikan kontraktor utama. 

“Apabila kami mendapat CRCC dan komitmen undang-undang dibuat, kami agak selamat. Walaupun sesetengah pihak (dalam konsortium) telah berubah, CRCC masih ada.

“Projek ini mempunyai sokongan syarikat dengan modal berbayar sebanyak RM4.5 bilion kerana CRCC berada di sana. Saya kata ‘syarikat dengan sokongan’, bukan pemegang saham. Mereka adalah dua entiti yang berlainan.
 
“CRCC yang utama. Itulah sebabnya mereka telah memberikan komitmen mereka kepada projek itu dua kali, kedua-dua perjanjian utama dan yang lain terikat pada perjanjian utama,” katanya. – 6 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen