Mayat warga asing ditemukan terapung di sungai Johor


Menurut polis, mayat warga asing itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk proses bedah siasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2022.

MAYAT wanita dipercayai warga asing ditemukan terapung di Sungai Plentong, Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai di Johor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat berusia 64 tahun itu daripada orang awam kira-kira jam 10.45 pagi.

“Polis turut mengesan seorang wanita tempatan berumur 33 tahun yang membuat laporan orang hilang dipercayai waris warga emas itu kerana mengecam pakaian yang dipakai oleh si mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, wanita tempatan itu juga sebelum ini dipercayai tinggal bersama si mati.

Katanya, mayat warga asing itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk proses bedah siasat.

“Polis masih menjalankan siasatan dan peringkat ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Saiful Bahri Safar menerusi kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima panggilan bantuan mengangkat mayat daripada pihak polis pada jam 12.11 tengah hari.

“Setibanya pasukan keluaran operasi di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa wanita dewasa berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai seperti yang dinyatakan pihak polis.

“Mangsa meninggal dunia selepas disahkan pihak petugas kesihatan di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu operasi ditamatkan pada jam 2.45 petang. – Bernama, 2 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen