Bukit Aman siasat kematian mengejut warga asing dalam tahanan


JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menyiasat laporan berhubung kematian mengejut seorang lelaki warga asing yang juga orang kena tahan (OKT) di Hospital Kajang, Selangor hari ini.

Pengarah JIPS Azri Ahmad berkata, lelaki warga Myanmar itu dihantar ke hospital berkenaan pada Isnin lalu sekitar jam 8.10 pagi selepas mengadu tidak sihat dan ditahan di wad bagi menerima rawatan rapi.

“Hari ini pihak hospital memaklumkan bahawa OKT meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya pada jam 5.30 petang 30 Januari lalu, seorang lelaki tempatan menyerahkan lelaki warga asing itu kepada pihak polis di One Stop Centre Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor kerana dipercayai mencuri sebuah motosikal.

Beliau berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Azri berkata, siasatan kes kematian mengejut itu dikendalikan oleh unit siasatan jenayah dan kematian dalam tahanan jabatan itu. – Bernama, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen