Kejayaan 'Spider-Man' bantu Sony tingkat prospek keuntungan tahunan


Tom Holland membawa watak utama sebagai Peter Parker dalam filem terbaru Sony Pictures Entertainment, 'Spider-Man: No Way Home'. – Gambar EPA, 2 Februari, 2022.

SONY meningkatkan unjuran keuntungan bersih tahunannya hari ini, selepas disokong kejayaan filem terbaharunya “Spider-Man” dan keputusan kukuh dalam sektor permainan walaupun menyusut dalam  pasaran cip global.

Syarikat itu muncul sebagai gergasi teknologi Jepun bertarung untuk mendominasi segmen kandungan permainan dengan pesaing dari Amerika Syarikat, Microsoft selepas pemerolehan filem “blockbuster” terbaharunya.

Sony mencatatkan rekod keuntungan bersih pada 2020-21, dengan ledakan pandemik dalam industri permainan sekali gus meningkatkan keuntungannya.

Walaupun permintaan besar untuk alat permainan semakin berkurangan sekarang, namun Sony berkata ia terus melihat prestasi kukuh bahagian lain termasuk filem, kandungan permainan dan elektronik.

Konglomerat itu kini mengunjurkan keuntungan bersih sebanyak 860 bilion yen (RM31.46 bilion) untuk tahun fiskal hingga Mac 2022, setelah menaikkan anggaran tahunan kepada 730 bilion yen (RM26.7 bilion) pada suku sebelumnya.

Menurut Sony, kadar tukaran asing yang menggalakkan dan jangkaan penurunan dalam kerugian operasi dalam sektor termasuk bahagian korporatnya juga akan meningkatkan keuntungan kumpulan.

Kumpulan itu merekodkan pencapaian kukuh dalam segmen filemnya termasuk “Spider-Man: No Way Home”, yang mula ditayangkan pada Disember dan tidak lama lagi boleh mengatasi “Avatar” sebagai filem ketiga tertinggi pecah panggung di Amerika Utara.

“Ini adalah hit terbesar yang pernah dilihat Sony Pictures Entertainment,” kata Ketua Pegawai Kewangan Hiroki Totoki kepada pemberita.

Segmen muzik firma itu juga mendapat pemenang dengan album terbaru Adele “30” dan hasil lesen yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam perniagaan anime popularnya.

Menurut Sony, keuntungan bersih dalam tempoh sembilan bulan hingga Disember 2021 ialah 771 bilion yen (RM28.2 bilion), susut 20% berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, jualan dalam tempoh yang sama meningkat 13% kepada 7.66 trilion yen (RM280 bilion). – AFP, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen