Universiti Afghanistan dibuka semula dengan kehadiran beberapa wanita


Pihak berkuasa berkata universiti di wilayah Laghman, Nangarhar, Kandahar, Nimroz, Farah dan Helmand dibuka hari ini. Lebih banyak institusi pendidikan negara itu dijadual beroperasi semula di tempat lain lewat bulan ini. – Gambar EPA, 2 Februari, 2022.

BEBERAPA universiti awam di Afghanistan dibuka semula buat pertama kali sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos, dengan segelintir pelajar wanita menghadiri kelas yang dikatakan akan diasingkan mengikut jantina.

Kebanyakan sekolah menengah perempuan dan semua universiti awam ditutup apabila kumpulan pejuang Islam itu kembali berkuasa.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan apabila wanita mungkin sekali lagi akan disekat daripada pendidikan seperti yang berlaku semasa pemerintahan pertama Taliban, dari 1996 hingga 2001.

“Ia adalah detik kegembiraan bagi kami kerana kelas kami telah bermula,” kata Zarlashta Haqmal yang mengikuti jurusan undang-undang dan sains politik di Universiti Nangarhar.

“Tetapi kami masih bimbang Taliban mungkin menghalang mereka,” katanya kepada AFP.

Pihak berkuasa berkata universiti di wilayah Laghman, Nangarhar, Kandahar, Nimroz, Farah dan Helmand dibuka hari ini.

Lebih banyak institusi pendidikan negara itu dijadual beroperasi semula di tempat lain lewat bulan ini.

Tinjauan AFP mendapati hanya enam wanita – memakai burqa yang menutupi keseluruhan tubuh – memasuki Universiti Laghman hari ini.

Pejuang Taliban mengawal pintu masuk, senapang jenis mesingan yang dipasang tripod diletakkan di atas pagar berpalang.

Seorang pekerja berkata kelas akan diasingkan, dengan wanita diajar pada waktu pagi dan lelaki pada sebelah petang.

Taliban berkata mereka tidak mempunyai bantahan terhadap pendidikan untuk wanita, tetapi mahu kelas diasingkan dan kurikulum berdasarkan prinsip Islam.

Pembukaan semula beberapa universiti pada Rabu hadir seminggu selepas delegasi Taliban mengadakan perbincangan dengan pegawai Barat di Norway, di mana mereka ditekan untuk meningkatkan hak wanita bagi mendapatkan semula berbilion dolar aset yang disita serta bantuan asing yang dibekukan. – AFP, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen