SEKURANG-KURANGNYA sembilan orang terbunuh di barat laut Colombia dalam serbuan tentera ke atas kartel dadah Teluk Clan selepas ketuanya ditangkap Oktober lalu.
Operasi bermula awal pagi semalam dan masih dijalankan pada sebelah malam apabila Menteri Pertahanan Diego Molano mengumumkan bahawa “setakat ini sembilan kematian dikenal pasti dalam operasi” terhadap kumpulan dadah itu.
Mayat ditemui di kawasan luar bandar di perbandaran Ituango, kubu kuat Teluk Clan. Ketuanya Dario Antonio Usuga yang juga dikenali sebagai Otoniel ditangkap pada Oktober dalam serbuan melibatkan 500 anggota polis dan tentera.
Selepas penahanan Otoniel, yang dianggap pengedar dadah paling dikehendaki di Colombia, Presiden Ivan Duque mengisytiharkan misi di Teluk Clan “tamat”.
Menurut kerajaan negara itu, kartel tersebut bertanggungjawab menyeludup keluar 30% kokain dari Colombia.
Otoniel sedang ditahan di penjara di Bogota sementara menunggu ekstradisinya ke Amerika Syarikat. Ganjaran AS$5 juta ditawarkan untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya. – AFP, 2 Februari, 2022.
Komen