3 maut serangan tembakan di sekolah AS


Dua pegawai penguatkuasa undang-undang kampus dan seorang pegawai keselamatan, ditembak sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian di kolej Virginia, AS. – Gambar EPA, 2 Februari, 2022.

DUA pegawai polis kampus mati ditembak di sebuah kolej di negeri Virginia AS pada Selasa, manakala seorang pelajar terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di Minnesota pada hari yang sama.

Dua pegawai penguatkuasa undang-undang kampus dan seorang pegawai keselamatan, ditembak sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian di kolej Virginia, kata polis dalam satu kenyataan di Twitter.

Beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang tiba di Kolej Bridgewater sekitar jam 1.20 tengah hari, menurut kenyataan yang sama, yang juga disiarkan oleh sekolah itu di laman webnya.

Suspek, seorang lelaki berusia 27 tahun bernama Alexander Wyatt Campbell, kemudiannya ditahan, kata Polis Negeri Virginia, sambil menambah beliau mempunyai “luka tembakan yang tidak mengancam nyawa.”

Ia masih belum jelas sama ada suspek ditembak oleh polis atau luka akibat perbuatan sendiri. Suspek didakwa atas tuduhan membunuh, kata polis.

Bandar Bridgewater, kira-kira dua setengah jam di selatan ibu negara AS di Washington, lokasi Kolej Bridgewater, menghantar amaran sekitar 1.30 tengah hari amaran tentang situasi penembak aktif, lapor media tempatan.

Sekolah itu mengeluarkan notis di laman webnya sekitar jam 4.30 petang.

Beberapa pelajar memberitahu Washington Post mereka mendengar tembakan berhampiran bangunan bilik darjah di kampus, lapor akhbar itu, dan terpaksa berlindung di tempat itu selama lebih tiga jam.

Seorang pelajar, 21 tahun, Kasey Truslow, memberitahu mendengar bunyi tembakan di luar tingkap bangunan.

“Selepas tembakan kedua, kami meniarap ke lantai selama sejam,” katanya.

“Cikgu menghalang pintu dengan meja besar dengan monitor komputer di atasnya. Terdapat pintu kedua yang disekat oleh pelajar.”

Pihak sekolah terus menghantar kemas kini di Twitter sepanjang kejadian dan memberitahu pelajar, “Gunakan makluman ini sebagai satu-satunya sumber maklumat yang boleh dipercayai.”

Gabenor Virginia Glen Youngkin menulis di Twitter, “Saya sudah diberi taklimat mengenai situasi di Kolej Bridgewater. Penembak berada dalam tahanan dan polis negeri dan tempatan berada di tempat kejadian.”

Pegawai tersebut dikenal pasti oleh pihak sekolah sebagai John Painter dan J.J. Jefferson.

Kedua-duanya maut ditembak semasa melindungi pelajar, kata kenyataan daripada presiden kolej David Bushman di laman webnya.

“Mereka adalah kawan rapat, yang dikenali ramai sebagai ‘duo dinamik.’ John menjadi pengapit J.J. semasa perkahwinannya tahun ini. Mereka disayangi oleh pelajar, fakulti dan kakitangan. Saya bersedih untuk keluarga dan insan tersayang mereka, begitu juga semua orang,” kata kenyataan itu.

Datuk Bandar Bridgewater Ted Flory menyiarkan kenyataan di laman web bandar kecil itu.

“Bridgewater terkejut dengan keganasan tidak masuk akal hari ini di Kolej Bridgewater,” kata Flory. “Kami sedih dengan kecederaan dan kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya.”

Datuk Bandar memuji pegawai atas usaha mereka dalam bertindak.

Kejadian tembakan di Minnesota berlaku di bandar Richfield di luar Minneapolis sekitar tengah hari, kata pegawai, menyebabkan seorang pelajar maut dan seorang lagi cedera.

Penyerang melepaskan tembakan ke arah pelajar di kaki lima Pusat Pendidikan Selatan sebelum memecut pergi dengan sebuah kereta, kata Ketua Polis Richfield Jay Henthorne kepada akhbar StarTribune.

Dua suspek kemudiannya ditahan, kata akhbar itu, sambil berkata rakan mangsa mengenal pasti pelajar yang terbunuh itu sebagai Jamari Rice, yang beberapa wartawan tempatan berkata adalah anak kepada aktivis Black Lives Matter Cortez Rice. – AFP, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen