Bicara tragedi kilang tekstil Bangladesh runtuh disambung semula


Ahli organisasi hak pekerja memegang sepanduk dan bunga ketika memberi penghormatan di tapak bangunan Plaza Rana di pinggir Dhaka, Bangladesh, sempena ulang tahun memperingati tragedi itu tahun lepas. – Gambar EPA, 2 Februari, 2022.

BANGLADESH menyambung semula perbicaraan pembunuhan berhubung satu daripada bencana kilang paling dahsyat di dunia selepas lima tahun tertangguh dalam rayuan dan prosedur mahkamah, pendakwa memberitahu AFP pada Selasa.

Lebih 1,130 pekerja maut pada 2013 apabila kilang tekstil sembilan tingkat di ibu kota Dhaka runtuh.

Plaza Rana—tempat pakaian untuk beberapa jenama seperti Primark dan Benetton dihasilkan—menyerlahkan keadaan tidak selamat dalam industri pakaian yang menguntungkan negara dan mencetuskan bantahan besar-besaran yang mendesak tindakan daripada peruncit global.

Mahkamah pada 2016 mendakwa 41 orang bagi pertuduhan membunuh kerana menandatangani piawaian bangunan dan memaksa pekerja bekerja walaupun terdapat keretakan di kompleks itu sehari sebelum bencana.

Bagaimanapun, kes itu dihentikan selama lebih lima tahun manakala beberapa defendan cuba menggugurkan pertuduhan mereka, dan mahkamah tinggi negara itu menggugurkan dakwaan terhadap dua pegawai tempatan yang dituduh meluluskan bangunan itu.

Pada Isnin, seorang hakim mengarahkan perbicaraan disambung semula terhadap 36 defendan asal—tiga sudah meninggal dunia—manakala permintaan pihak pendakwaan untuk menggugurkan dua dakwaan yang digantung akan dipertimbangkan secara berasingan.

“Kami mahu menyelesaikan perbicaraan secepat mungkin. Sudah terlalu banyak masa terbuang,” kata ketua pendakwa raya Sheikh Hemayet Hossain kepada AFP.

“Bangunan itu tidak mempunyai sebarang pelan (pembinaan). Ia akan bergegar apabila mesin dihidupkan. Dan pemilik bangunan itu, Sohel Rana, mengupah orang untuk memaksa pekerja pergi bekerja pada hari kejadian.

Hossain berkata kesemua tertuduh kecuali Rana dibebaskan dengan ikat jamin.

Bapa Rana, yang merupakan pemilik bersama kompleks itu, adalah antara defendan yang meninggal dunia sebelum dibicarakan, kata rakan pendakwa raya Shamsur Rahman.

Ekonomi Bangladesh melonjak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagian besarnya disumbang oleh perdagangan pakaian bernilai AS$35 bilion, yang menyumbang lebih 80% eksport negara itu.

Industri ini kedua terbesar selepas China, tetapi kebakaran dan keruntuhan kilang adalah perkara biasa disebabkan oleh peraturan bangunan yang longgar dan bahan kimia yang tidak disimpan dengan betul.

Pemiliknya juga merupakan pelobi politik yang kuat, dan hubungan Rana dengan parti pemerintah Liga Awami dilaporkan secara meluas dalam media tempatan.

Beliau menjadi tokoh yang dikecam seluruh negara selepas bencana itu, dengan mangsa yang terselamat menceritakan bagaimana mereka ditampar dan diancam untuk bekerja pada tragedi runtuhan itu.

Pekerja penyelamat bertungkus-lumus selama berminggu-minggu untuk mengeluarkan mayat daripada runtuhan, tetapi sebahagian daripada mereka yang berada di Plaza Rana hari itu masih tidak dapat dikesan.

“Kami tidak mendapat keadilan selama 9 tahun,” kata bekas pekerja pakaian Rehana Akhter, 35, yang kaki kirinya dipotong selepas terperangkap di dalam kompleks itu.

“Sudah tentu kami mahukan keadilan. Mereka harus memastikan (Rana) hidup supaya beliau dapat menjaga mangsa yang seperti saya dan semua mangsa lain.” – AFP, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen