Pfizer mohon kelulusan vaksin kanak-kanak bawah umur 5 tahun


Pfizer mengurangkan dos vaksinnya bagi suntikan untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. – Gambar EPA, 2 Februari, 2022.

PFIZER dan BioNTech berkata pada Selasa mereka sedang mendapatkan kebenaran kecemasan daripada pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat (AS) bagi penggunaan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur lebih 6 bulan dan bawah 5 tahun.

Jika Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) membenarkan rejimen dua suntikan, ia akan menjadi vaksin Covid-19 pertama untuk kumpulan umur ini di AS.

Syarikat itu berkata pada Selasa mereka mula menyerahkan permohonan rasmi susulan permintaan daripada FDA, yang nampaknya mahu proses itu bergerak dengan cepat.

Dalam Twiter tidak lama selepas pengumuman itu, FDA berkata ia akan mengadakan mesyuarat dalam dua minggu, pada 15 Februari, untuk mempertimbangkan permintaan itu.

“Memiliki vaksin yang selamat dan berkesan tersedia untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur ini adalah keutamaan bagi agensi itu,” kata ketua sementara FDA Janet Woodcock, yang menambah FDA meminta permohonan itu susulan lonjakan Omicron baru-baru ini.

Syarikat itu memohon kebenaran dua dos vaksin mereka, tetapi percaya suntikan ketiga diperlukan bagi mencapai tahap perlindungan yang tinggi terhadap varian yang ada dan kemungkinan pada masa akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan.

“Jika dua dos dibenarkan, ibu bapa akan berpeluang memulakan siri vaksinasi Covid-19 untuk anak-anak mereka sementara menunggu kemungkinan kebenaran dos ketiga,” tambahnya.

Bagi mengehadkan kesan sampingan kumpulan umur ini, Pfizer memilih untuk mengurangkan dos vaksinnya dengan ketara, hanya 3 mikrogram setiap suntikan berbanding 30 untuk yang berumur lebih 12 tahun dan 10 untuk umur 5 hingga 11 tahun.

Penyelidik syarikat itu membuat kesimpulan pada musim gugur lalu yang dos rendah vaksin memberikan perlindungan kepada kanak-kanak sehingga 2 tahun tetapi tidak pada mereka yang berumur 2 hingga 5 tahun, dan mengumumkan pada Disember mereka akan menambah dos ketiga kepada ujian mereka.

Data rejimen tiga dos dijangka diperoleh dalam beberapa bulan akan datang dan akan diserahkan kepada FDA untuk menyokong potensi perkembangan peringkat awal ini, kata Pfizer dan BioNTech dalam kenyataan itu.

Jika FDA membenarkan penggunaan kecemasan vaksin, jawatankuasa penasihat untuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) kemudiannya akan bermesyuarat untuk memutuskan bagi mengesyorkan penggunaannya atau tidak.

Terdapat kira-kira 23 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di AS, dan dua tahun selepas wabak bermula, ramai ibu bapa tidak sabar menunggu untuk memberi vaksin kepada anak-anak kecil mereka.

Vaksin Pfizer-BioNTech diluluskan tiga bulan lalu untuk kegunaan kecemasan pada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun, tetapi pengambilannya agak perlahan.

Dalam kumpulan umur itu, hanya 30% menerima sekurang-kurangnya satu dos dan sekitar 22% diberi vaksin lengkap, menurut CDC.

Kanak-kanak kecil kurang terdedah untuk jatuh sakit teruk akibat Covid-19, tetapi ada yang dimasukkan ke hospital disebabkan virus itu.

Kemasukan baharu ke wad pediatrik mencecah rekod tertinggi di AS pada Disember apabila strain Omicron merebak dengan cepat.

Beberapa kes penyakit yang mengancam nyawa MIS-C (sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak), juga dilaporkan pada kanak-kanak kecil yang dijangkiti Covid-19.

Data CDC menunjukkan kira-kira 400 kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah meninggal dunia akibat Covid-19 di AS sejak wabak itu bermula. – AFP, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen