1,420 kemalangan Op Selamat di Selangor


OP Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 mencatat 1,420 kes kemalangan dalam tempoh empat hari pertama, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Bagaimanapun beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah itu satu penurunan sebanyak 30.87% atau 634 kes berbanding empat hari pertama Op Selamat 16 pada Tahun Baharu Cina 2020 yang mencatatkan 2,054 kes.

“Sejak dilancarkan pada 28 Januari, daripada jumlah kes kemalangan jalan raya direkodkan, 219 kemalangan berlaku di lebuh raya, 96 kemalangan di jalan persekutuan, 182 kemalangan di jalan negeri, 825 kemalangan di jalan bandaran dan 98 kemalangan di jalan lain,” katanya.

Bagi kes kemalangan maut pula, sebanyak lapan kes direkodkan semuanya membabitkan penunggang motosikal.

“Jumlah ini juga menunjukkan penurunan sebanyak enam kes, di mana dalam Op Selamat 16 tahun 2020, sebanyak 14 kes kematian direkodkan membabitkan 11 penunggang motosikal dan tiga kes pejalan kaki,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah 11,464 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk kesalahan melebihi had laju (10,879), tidak mematuhi lampu isyarat (318), menggunakan alat komunikasi semasa memandu (236), memotong barisan (27), memotong garisan berkembar (3) dan pandu di lorong kecemasan (1).

Op Selamat 17 sedang dilaksanakan selama 10 hari sehingga 6 Februari ini. – Bernama, 1 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen