POLIS Kelantan mengeluarkan 222 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Khas (Op Selamat 17) sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di negeri itu, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Shuhaimi Jusoh, berkata kesalahan paling banyak dikesan adalah berkaitan nombor plat (77 saman), selain tiada lesen memandu (51) dan lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh (57).
Beliau berkata, operasi yang bermula jam 9 malam hingga 4 pagi tadi membabitkan 15 pegawai dan 84 anggota, yang mengadakan lima sekatan jalan raya dan operasi turut disertai rondaan bermotosikal oleh 13 pasukan, selain pasukan Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan.
Katanya, polis memeriksa 327 kenderaan dalam Op Khas itu selain menjalankan pemeriksaan ke atas 357 individu yang terdiri daripada 267 lelaki dan 90 orang wanita.
Bagi ujian saringan mabuk, 35 individu diperiksa membabitkan pemandu kereta (18), pemandu MPV (13) dan empat orang pemandu van. Namun semua ujian didapati negatif,” katanya selepas meninjau Op Khas itu malam tadi. – Bernama, 1 Februari, 2022.
Komen