Indonesia, Singapura desak Myanmar segera laksana 5-PC Asean


Sebagai sebuah keluarga, Asean menghulurkan bantuan menerusi 5-PC kepada Myanmar namun pelaksanaannya tidak ketara. – Gambar EPA, 2 Februari, 2022.

MEMANDANGKAN hari ini genap setahun rampasan kuasa tentera di Myanmar, Indonesia dan Singapura mengecam keras kudeta itu dan menggesa junta tentera untuk segera melaksanakan konsensus lima perkara (5-PC).

Tentera Myanmar perlu segera memberi akses kepada duta khas Asean untuk memulakan tugas berdasarkan mandat pemimpin Asean, kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan di Jakarta.

“Sebagai sebuah keluarga, Asean menghulurkan bantuan melalui 5-PC. Malangnya, setakat ini, belum ada kemajuan yang ketara dalam pelaksanaan 5-PC,” menurut kenyataan itu.

Indonesia juga akan terus menghulurkan bantuan, kata kementerian itu, sambil menambah keselamatan dan kesejahteraan rakyat Myanmar menjadi keutamaan negara itu.

Negara terbesar di Asia Tenggara itu juga menghargai sokongan masyarakat antarabangsa terhadap 5-PC Asean untuk menangani krisis di Myanmar.

Pada 23 Januari, Presiden Joko Widodo meluahkan rasa kesal kerana junta tentera “tidak komited untuk melaksanakan 5-PC semasa lawatan perdana menteri Kemboja dan pengerusi Asean Samdech Techo Hun Sen bulan lalu.

Kekecewaan itu disampaikan semasa panggilan telefonnya dengan Hun Sen atas permintaan kerajaan Kemboja.

Sementara itu, di Singapura, republik itu berkata, ia kekal prihatin terhadap keadaan di Myanmar dan kecewa dengan kekurangan kemajuan dalam pelaksanaan 5-PC Asean.

Negara itu menggesa pihak berkuasa tentera Myanmar untuk segera melaksanakan 5-PC dengan sepenuhnya, termasuk memudahkan lawatan duta khas ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak berkenaan.

Singapura juga menggesa semua tahanan politik dibebaskan termasuk U Win Myint, Aung San Suu Kyi dan tahanan asing. Pihak berkuasa tentera Myanmar juga digesa mengelakkan tindakan yang bertentangan dengan perdamaian nasional di Myanmar.

“Keadaan rakyat di Myanmar semakin merosot,” kata kenyataan itu.

“Singapura tetap komited untuk menyokong usaha Asean dalam mengurangkan kesengsaraan di Myanmar,” kata Kementerian Luar (MFA) republik itu dalam satu kenyataan di Singapura hari ini.

Myanmar bergolak sejak 1 Februari 2021 apabila ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam rusuhan yang berlaku selepas itu. – Bernama, 1 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen