PARLIMEN Jepun hari ini meluluskan satu resolusi yang jarang dilakukan iaitu mengenai kebimbangan isu hak asasi di China termasuk layanan etnik Uighur beragama Islam dan Hong Kong, beberapa hari sebelum temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing bermula.
Intipati resolusi yang dicadangkan oleh kumpulan bipartisan dilaporkan diteliti selepas melalui perbincangan panjang bagi mengelak menuduh Beijing secara langsung melakukan pencabulan hak asasi.
Bagaimanapun, resolusi menyentuh rekod hak asasi China umpama ‘kena pada masanya’ ketika republik itu bersiap sedia untuk menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan ini.
Tokyo berusaha mengambil langkah berhati-hati menyentuh isu berkaitan China, mengimbangi tekanan yang dikenakan ke atas Beijing oleh sekutu rapat Washington.
Amerika Syarikat dan China adalah rakan dagangan terbesar negara matahari terbit itu.
Undian majoriti di Dewan Rakyat meluluskan resolusi yang menyatakan kebimbangan serius terhadap situasi hak asasi manusia di wilayah Xinjiang, Tibet, Hong Kong dan Inner Mongolia.
Resolusi itu menggesa kerajaan Jepun untuk mengadakan libat urus secara konstruktif mengenai isu hak asasi di China.
Beijing sudah sekian lama menafikan layanannya terhadap etnik Uighur dan kebanyakan orang Islam Turki, termasuk tuduhan AS republik itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Pakar menganggarkan lebih sejuta orang dipenjarakan di kem terletak di wilayah Xinjiang yang menempatkan minoriti itu.
Pada Disember lalu, Jepun berkata pihaknya tidak akan menghantar wakil negara itu ke Sukan Olimpik Beijing kerana mahu China menghormati hak asasi serta lunas undang-undang. – AFP, 1 Februari, 2022.
Komen