GAJAH jantan yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih, Terengganu Sabtu lalu didapati mati di kebun getah di kampung berkenaan, petang semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Seong, berkata pihaknya mendapati gajah berusia lingkungan 15 tahun itu mati kira-kira jam 2.30 petang.
“Saya menerima berita sedih itu daripada kakitangan yang bertugas di lapangan dan bedah siasat dilakukan oleh doktor veterinar Perhilitan pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian gajah itu.
“Setakat ini saya masih menunggu laporan rasmi punca kematian gajah itu, manakala bangkai gajah itu ditanam di lokasi ia dirantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Loo, gajah seberat kira-kira dua tan itu sebelum ini dijadual untuk dipindahkan ke lokasi yang ditetapkan dengan bantuan gajah denak esok.
Ahad lalu, Perhilitan Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan di Kampung Padang Tapong dekat Kampung Padang Luas selepas menerima aduan orang awam berhubung gajah liar yang berkeliaran sekitar kampung termasuk menghampiri kawasan taman perumahan.
Kakitangan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap gajah itu dengan menggunakan kaedah tembak ubat pelali dan haiwan itu dirantai kakinya pada pokok getah sementara menunggu ia dipindahkan. – Bernama, 1 Februari, 2022.
Komen