BOT pelancong terbabit dalam insiden pelanggaran dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam, didapati membawa penumpang berlebihan iaitu seramai 29 orang, berbanding 12 yang dibenarkan.
Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKK) Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Muhammad Shuhaimi Abd Rahman berkata keadaan itu menyebabkan bot pelancong itu sukar dikawal apabila berlaku pelanggaran, selain turut dipengaruhi faktor ombak dan arus laut kuat.
Katanya, siasatan secara lisan turut mendapati, penumpang bot yang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru bot, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam.
“Akibat pelanggaran itu, semua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air dan diselamatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam serta orang awam.
“Seramai 22 orang dibawa ke Klinik Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan susulan dengan 11 daripadanya iaitu dua kritikal, lapan separa kritikal dan seorang cedera ringan, dirujuk ke Hospital Besut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Muhammad Shuhaimi berkata, siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot itu dilaporkan tamat tempoh pada 10 Jun lalu.
“Pemilik bot juga mengalihkan bot yang terbabit kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran bagi mengelirukan pihak Pejabat Laut Kuala Besut,” katanya.
Menurutnya penumpang juga dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian tidak sah dan bukan di bawah seliaan JLM, selain jeti itu juga jauh daripada kawalan JLM.
Katanya, antara jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang dari Besut adalah seperti di tepi pesisir pantai, Bukit Kluang, Pulau Rhu dan di Sungai Kampung Raja.
“Jeti Penumpang JLM masih ditutup ekoran fasa monsun timur laut 2021/2022 yang bermula 3 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac ini. Hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora berisiko mengancam keselamatan bot untuk beroperasi di laut,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Shuhaimi berkata, pengusaha bot terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan saman di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, jika didapati bersalah.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin ke pulau peranginan dinasihat menggunakan jeti sah sahaja iaitu di Jeti Penumpang JLM dan memakai jaket keselamatan, manakala pengusaha bot diingatkan tidak membawa lebihan muatan atau penumpang, serta memastikan lesen bot dan lesen nakhoda masih sah bagi mengelakkan insiden itu berulang.
“JLM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti PDRM dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), serta mempergiatkan kempen memperbaharui lesen bot sebelum pulau peranginan beroperasi semula pada Mac ini,” katanya. – Bernama, 1 Februari, 2022.
Komen