Malam Gala Tahun Baharu Cina dapat sambutan hangat


Antara persembahan hebat pada Malam Gala Tahun Baharu Cina di Beijing, malam tadi. – Gambar YouTube, 1 Februari, 2022.

MALAM Gala Tahun Baharu Cina anjuran Kumpulan Media China (CMG) di Beijing, China disiarkan buat tontonan penonton tepat jam 8 malam pada Isnin dengan pelbagai kandungan yang unik dan penuh emosi.

Acara itu turut mendapat sentuhan teknologi penglihatan maya seperti realiti lanjutan (XR) dan realiti terimbuh (AR) dalam mempersembahkan kesenian yang mengujakan kepada penonton.

Malam gala itu disaksikan penonton dari dalam dan luar negera, serta turut mendapat pujian secara meluas.

Menurut statistik di peringkat permulaan, sehingga jam 12 tengah malam tadi, purata kadar tontonan siaran TV langsung rancangan mencapai 21.93%.

Manakala pengguna dalam kalangan media baharu mencecah 4.93 bilion, sekali gus menyaksikan pertambahan ketara berbanding 2021.

Tahun ini, penonton diberi pilihan menghayati rancangan itu menerusi telefon pintar dengan paparan skrin menegak dan merekodkan tontonan lebih 200 juta kali dengan lebih separuh daripadanya penonton berusia bawah 30 tahun.

Selain itu, rata-rata warganet turut memberi ulasan yang menggalakkan dan siaran itu juga berjaya mendapat sejumlah 360 juta ‘likes’.

Ia turut disiarkan secara langsung oleh lebih 600 media dari lebih 170 negara dan wilayah.

Penonton luar negara yang menonton siaran langsung menerusi CNTV dan matriks sosial luar negara CGTN dilaporkan melebihi 35.24 juta penonton, menyaksikan pertambahan sebanyak 16.58 juta penonton. – Bernama, 1 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen