Menteri Hong Kong letak jawatan skandal parti hari jadi


Menteri Dalam Negeri Caspar Tsui meletak jawatan dalam Kabinet Hong Kong semalam, susulan insiden parti hari jadi ketika sekatan perhimpunan beramai-ramai dilarang bagi sekat penularan Covid-19. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2022.

SEORANG menteri Hong Kong meletak jawatan semalam susulan menghadiri parti ulang tahun bersama berpuluh-puluh pegawai dan wakil rakyat, beberapa hari selepas kerajaan menggesa penduduk mengelak perhimpunan besar dalam usaha mengekang penularan koronavirus.

“Saya serahkan surat letak jawatan kepada ketua eksekutif dan akan melepaskan jawatan hari ini,” kata Menteri Dalam Negeri Caspar Tsui dalam satu kenyataan.

“Sebagai pegawai principal yang mengetuai perjuangan melawan pandemik, saya memberikan contoh tidak baik ketika gelombang wabak itu baru-baru ini.”

Peletakan jawatan itu memberi tamparan kepada pentadbiran Ketua Eksekutif Carrie Lam di mana kedudukan beliau terjejas akibat protes pro demokrasi dan beberapa siri keganasan dilakukan terhadap individu yang bercanggah pendapat.

Sambutan ulang tahun Witman Hung, salah seorang ahli lembaga wakil rakyat China pada 3 Januari lalu, adalah sesuatu yang memalukan untuk pentadbiran Lam, apatah lagi kerajaan itu menggunakan dasar ketat “Covid-sifar”, sama seperti Beijing.

Senarai tetamu terbongkar selepas pihak berkuasa kesihatan menjejak seorang individu yang dijangkiti di parti itu.

Antara lebih 200 tetamu yang hadir adalah pegawai kanan – termasuk ketua polis, imigresen dan pencegahan rasuah – selain 20 wakil rakyat.

Walaupun penganjuran parti itu tidak melanggar undang-undang kerana pada masa itu Hong Kong belum menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial yang ketat, ketua kesihatan sudah memberi amaran kepada orang ramai, tiga hari lebih awal untuk mengelak perhimpunan besar. – AFP, 1 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen