SERAMAI lima orang terbunuh semalam apabila sebuah bas mini di timur laut Kenya musnah terkena bom di tepi jalan semasa serangan hendap oleh lelaki bersenjata berhampiran sempadan Somalia, kata polis.
Penyerang melepaskan tembakan ke arah bas mini itu melanggar bahan letupan kira-kira lapan kilometer dari bandar Mandera di sempadan Kenya-Somali.
“Pasukan peronda Unit Perkhidmatan Am yang berjalan kaki dan berhampiran dengan kawasan itu, bertindak balas dan menyerang penyerang yang melarikan diri ke arah sempadan Somalia,” menurut laporan polis.
Penyerang menggunakan senjata api dan bom tangan roket semasa serangan itu, tambah laporan berkenaan.
Beberapa penumpang terselamat daripada serangan itu dengan pelbagai tahap kecederaan.
Wilayah Mandera terdedah dengan serbuan di mana kumpulan militan Al-Shabaab mengawal kawasan luar bandar dan pihak berkuasa kerajaan pusat di kawasan terpencil adalah lemah.
Wilayah lain yang bersempadan dengan Somalia juga terdedah dengan serangan.
Kenya berdepan beberapa serangan maut oleh pejuang Al-Shabaab sebagai tindak balas terhadap Nairobi yang menghantar tentera Somalia pada 2011 sebagai sebahagian daripada pasukan Kesatuan Afrika untuk mengusir pejuang jihad.
Kenya adalah penyumbang utama tentera kepada Misi Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM).
Pada 2015 serangan ke atas sebuah universiti di Garissa, wilayah lain yang berkongsi sempadan dengan Somalia menyebabkan 148 orang terbunuh yang hampir kesemuanya pelajar.
Minggu lalu beberapa misi diplomatik di Nairobi memberi amaran tentang kemungkinan serangan pengganas yang menyasarkan warga asing di ibu negara.
Kedutaan Perancis dan Jerman memberi amaran tentang kemungkinan serangan dalam beberapa hari manakala Amerika Syarikat mengeluarkan amaran keselamatan baharu tentang potensi tindakan keganasan pada tahun ini di Kenya.
Pada 2019 lelaki bersenjata Al-Shabaab membunuh 21 orang di kompleks hotel mewah di Nairobi dan pada 2013 pengepungan berdarah selama empat hari di pusat membeli-belah Westgaet di ibu negara itu meragut 67 nyawa. – Bernama, 31 Januari, 2022.
Komen