MAJLIS Keselamatan PBB bermesyuarat pada Isnin bagi membincangkan krisis Ukraine, ketika Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan Nato untuk meningkatkan sekatan jika Rusia menyerang jirannya.
Kebimbangan timbul berikutan pencerobohan sejak beberapa hari kebelakangan ini, walaupun Moscow menafikannya selain rayuan presiden Ukraine supaya mengelak daripada menimbulkan “panik” berhubung kemunculan tentera Rusia di sempadan.
AS dan Britain pada Ahad melaksanakan sekatan ekonomi baharu terhadap Rusia, ketika Washington dan sekutunya meningkatkan usaha bagi menghalang sebarang pencerobohan ke atas Ukraine.
Dengan ketegangan yang memuncak, AS berkata ia bersedia untuk menolak sebarang “maklumat yang salah” yang dikemukakan Moscow dalam apa yang dijangka menjadi salah satu sesi PBB yang paling panas sejak beberapa tahun.
Rusia pada Isnin berkemungkinan akan cuba menyekat majlis 15 anggota itu daripada mengadakan mesyuaratnya, namun wakil PBB Washington Linda Thomas-Greenfield berkata “Majlis Keselamatan bersatu. Suara kami bersatu dalam menyeru agar Rusia menjelaskan diri mereka sendiri.”
“Kami akan pergi untuk dengarkan mereka, tetapi kami tidak akan terganggu oleh propaganda mereka,” katanya pada Ahad. “Dan kami akan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang maklumat salah yang mereka cuba sebarkan semasa mesyuarat ini.”
Timbalan Setiausaha Negara AS Victoria Nuland memberitahu CBS cadangan mengenai isu keselamatan yang dibentangkan minggu lalu oleh AS dan Nato kepada Rusia mungkin menimbulkan minat Moscow.
Cadangan itu termasuk kemungkinan rundingan baharu minggu ini antara Setiausaha Negara Antony Blinken dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat mengambil sikap tegas dengan berkata penting agar Washington menghantar mesej yang kuat kepada Presiden Rusia Vladimir Putin yang sebarang pencerobohan terhadap Ukraine akan melibatkan kos yang sangat tinggi.
“Kita tidak boleh merasai detik seperti di Munich lagi,” kata Senator Bob Menendez di CNN. “Putin tidak akan berhenti dengan Ukraine.”
Di London, Setiausaha Luar Liz Truss berkata Britain akan mendedahkan undang-undang sekatan yang menyasarkan “kepelbagaian yang lebih luas” terhadap sasaran ekonomi Rusia.
“Tidak akan ada tempat untuk bersembunyi bagi oligarki Putin,” kata Truss kepada Sky News.
Penganalisis berkata pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap bank dan institusi kewangan Rusia bukan sahaja akan menjejaskan kehidupan harian di seluruh Rusia tetapi boleh menjejaskan ekonomi utama di Eropah dan tempat lain. – AFP, 31 Januari, 2022.
Komen