SERANGAN Israel pada Isnin mengenai sebuah pos tentera dan depoh senjata yang dikendalikan oleh Hizbullah Lubnan berhampiran ibu negara Syria Damsyik, lapor pemantau perang pada Isnin.
“Tapak yang dikendalikan oleh kumpulan Hizbullah Lubnan… di wilayah Qalamoun timur, timur laut Damsyik, telah diserang Israel pada waktu subuh,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.
Pemantau perang, yang bergantung kepada sumber di Syria, berkata serangan itu mencetuskan kebakaran “di pos tentera dan depoh senjata milik Hizbullah”.
Pemantau itu berkata dipercayai ada mangsa yang terkorban tetapi ia tidak menyebut jumlahnya.
Ditanya mengenai serangan Israel berhampiran Damsyik, tentera Israel memberitahu AFP: “Kami tidak mengulas mengenai laporan dalam media asing.”
Media rasmi kerajaan Syria berkata, serangan itu hanya menyebabkan kerosakan harta benda, tanpa menjelaskan sasaran yang dimaksudkan.
“Pada pukul 3.05 pagi hari ini, rejim Israel melakukan serangan udara dengan peluru berpandu… menyasarkan beberapa tempat di pinggir Damsyik,” kata agensi berita SANA.
“Pertahanan udara kami bertindak balas terhadap serangan itu dan memintas beberapa” peluru berpandu, tambahnya.
Israel jarang mengulas mengenai serangan udara yang dilakukannya di Syria tetapi telah berulang kali berkata ia tidak akan membenarkan musuhnya iaitu Iran meluaskan cengkaman di Syria.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah. – AFP, 31 Januari, 2022.
Komen