6 beranak maut dibunuh di Mexico


KES ahli keluarga dibunuh di komuniti luar bandar di Guanajuato, Mexico diklasifikasikan sebagai kes paling ganas di negara itu, kata pihak berkuasa tempatan semalam.

Empat lelaki dan dua wanita berusia antara 24 dan 73 tahun ditemui dalam sebuah bangunan dengan kesan tembakan, kata pejabat pendakwa raya negeri yang sebelum ini menafikan laporan awal seorang bayi antara yang maut.

Serangan itu berlaku pada malam Sabtu.

Ia adalah serangan kelima di perbandaran luar bandar Silao dalam tempoh empat bulan lalu, kata pejabat pendakwa raya.

Siasatan di tempat kejadian menemui pembungkus plastik dengan tulisan yang merujuk kepada kumpulan penjenayah.

Negeri tengah Guanajuato ialah kawasan perindustrian makmuar yang merupakan kawasan kilang penapisan minyak tetapi menjadi salah satu lokasi paling ganas di Mexico akibat pertikaian antara kartel dadah Santa Rosa de Lima dan Generasi Baharu Jalisco.

Kedua-dua kumpulan itu bersaing untuk mengawal pengedaran dadah dan kecurian bahan api di negeri itu serta jenayah lain.

Sejak Disember 2006 apabila kerajaan melancarkan operasi ketenteraan antidadah kontroversi Mexico merekodkan lebih 340,000 kes pembunuhan, mengikut data rasmi. – AFP, 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen