Nadal juarai Terbuka Australia, capai gelaran Grand Slam ke 21


Rafael Nadal menjadi pemain tenis lelaki pertama memenangi 21 gelaran Grand Slam.– Gambar EPA, 31 Januari, 2022.

RAFAEL Nadal pada Ahad menewaskan Daniil Medvedev pada final Terbuka Australia 2022, menjadi pemain tenis lelaki pertama memenangi 21 gelaran Grand Slam.

Legenda Sepanyol berusia 35 tahun itu menjuarai Terbuka Australia keduanya dengan 2-6, 6-7 (5-7), 6-4, 6-4, dan 7-5 set menentang pemain nombor dua dunia Medvedev, dalam persaingan hampir lima set selama setengah jam permainan di Melbourne.

Menurut Agensi Anadolu, Nadal menyifatkan perlawanan akhir itu sebagai “antara perlawanan paling beremosi” dalam kariernya.

“Hari ini saya menggenggam trofi ini di depan anda semua. Ianya sangat bermakna. Anda semua sangat hebat, terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda,” tambah Nadal.

Medvedev, 25, mengucapkan tahniah kepada saingannya atas kemenangan itu.

“Tahniah kepada Rafa atas kejayaannya hari ini, saya kagum. Selepas dua set, anda meningkatkan tahap permainan, dan memenangi Grand Slam ke-21,” katanya.

“Saya akan cuba dan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya.

Sebelum perlawanan itu, Nadal, Novak Djokovic, dan Roger Federer masing-masing memegang rekod pemain tenis lelaki dengan 20 gelaran perseorangan Grand Slam.

Federer terlepas peluang untuk memenangi gelaran ke-21 dalam Wimbledon 2019, tewas kepada Djokovic.

Djokovic juga gagal merangkul gelaran Grand Slam ke-21 selepas tewas kepada Medvedev pada final Terbuka AS 2021.

Djokovic tidak dibenarkan menyertai Terbuka Australia 2022 selepas pembatalan visanya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan Australia.

Ia kekalahan kedua Medvedev di Terbuka Australia selepas kali pertama tewas menentang Djokovic pada 2021. – Bernama, 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen