PBB dakwa Taliban bunuh lebih 100 bekas pegawai kerajaan Afghanistan


Sejak Taliban merampas Kabul pada 15 Ogos, misi PBB di Afghanistan menerima lebih 100 laporan mengenai pembunuhan melibatkan bekas pegawai kerajaan dan anggota keselamatan. – Gambar EPA, 31 Januari, 2022.

LAPORAN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Taliban dan sekutunya membunuh lebih 100 kakitangan bekas kerajaan Afghanistan, anggota keselamatan dan orang yang bekerja dengan pasukan antarabangsa.

Laporan itu, salinan awal yang dilihat oleh AFP, menggambarkan sekatan hak asasi manusia yang teruk oleh pemerintah fundamentalis baharu Afghanistan. Selain pembunuhan politik, hak wanita dan hak untuk bersuara juga disekat.

“Walaupun pengumuman pengampunan untuk bekas anggota kerajaan, pasukan keselamatan dan mereka yang bekerja dengan pasukan tentera antarabangsa, UNAMA terus menerima dakwaan yang boleh dipercayai mengenai pembunuhan, kehilangan secara paksa, dan pelanggaran lain terhadap individu,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam laporan itu.

Sejak Taliban merampas Kabul pada 15 Ogos, misi PBB di Afghanistan menerima lebih daripada 100 laporan mengenai pembunuhan sedemikian yang dianggap boleh dipercayai, kata laporan itu.

Lebih daripada dua pertiga pembunuhan itu adalah “di luar mahkamah yang dilakukan oleh pihak berkuasa de facto atau sekutu mereka.”

Selain itu, “pembela hak asasi manusia dan pekerja media terus diserang, intimidasi, gangguan, penangkapan sewenang-wenangnya, layanan buruk dan pembunuhan,” katanya.

Laporan itu juga memperincikan sekatan kerajaan terhadap protes aman, serta kekurangan akses bagi wanita dan gadis untuk bekerja dan pendidikan.

“Seluruh sistem sosial dan ekonomi yang kompleks  ditutup,” kata Guterres dalam laporan itu.

Afghanistan berada dalam cengkaman bencana kemanusiaan, diburukkan lagi oleh pengambilalihan Taliban yang mendorong negara-negara Barat untuk membekukan bantuan antarabangsa dan akses kepada aset bernilai berbilion dolar yang dipegang di luar negara.

Negara itu hampir bergantung sepenuhnya kepada bantuan asing di bawah kerajaan yang disokong AS sebelum ini, tetapi tiada pekerjaan dan kebanyakan penjawat awam tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.

Belum ada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban, dengan kebanyakannya mengambil sikap tunggu dan lihat.

Dengan kemiskinan yang semakin meruncing dan kemarau yang memusnahkan pertanian di banyak kawasan, PBB memberi amaran bahawa separuh daripada 38 juta penduduk menghadapi kekurangan makanan.

Majlis Keselamatan PBB bulan lalu sebulat suara menerima pakai resolusi AS untuk membenarkan beberapa bantuan dihantar kepada rakyat Afghanistan yang terdesak tanpa melanggar sekatan antarabangsa.

Tetapi terdapat gesaan yang semakin meningkat daripada kumpulan hak asasi manusia dan organisasi bantuan agar Barat mengeluarkan lebih banyak dana—terutamanya ketika musim sejuk yang teruk. – AFP, 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen