Korea Utara akui uji peluru berpandu Hwasong-12


Foto dikeluarkan KCNA mengenai ujian tembakan penilaian peluru berpandu balistik jarak sederhana Hwasong-12 oleh Koea Utara dari lokasi yang tidak didedahkan. – Gambar EPA, 31 Januari, 2022.

KOREA Utara mengesahkan ia melancarkan peluru berpandu balistik jarak sederhana Hwasong-12, yang pertama kali diuji pada 2017, lapor media kerajaan pada Isnin.

Tentera Seoul berkata ia mengesan pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana pada Ahad—ujian senjata ketujuh Pyongyang pada Januari.

Korea Utara tidak pernah menguji peluru berpandu sebanyak ini dalam tempoh sebulan dan minggu lepas mengancam mengabaikan moratoriunya sendiri selama hampir lima tahun untuk menguji senjata jarak jauh dan nuklear, menyalahkan dasar “bermusuhan” AS kerana memaksanya berbuat demikian.

“Ujian tembakan penilaian peluru berpandu balistik jarak sederhana dan jauh Hwasong 12 jenis dijalankan pada Ahad,” kata rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Ujian itu “mengesahkan ketepatan, keselamatan dan keberkesanan operasi sistem senjata jenis 12 Hwasong di bawah pengeluaran,” tambah KCNA.

KCNA berkata ujian itu dijalankan menggunakan “sistem pelancaran sudut tertinggi” untuk memastikan keselamatan negara jiran, dan membawa kamera yang mengambil gambar semasa berada di angkasa.

Susulan rundingan damai dengan Washington terhenti, Korea Utara menunaikan ikrar pemimpin Kim Jong Un memodenkan angkatan tentera rejim, mempersiapkan tentera Pyongyang walaupun dikenakan sekatan antarabangsa.

Korea Selatan berkata pada Ahad yang Korea Utara dilihat mengikut “corak serupa” pada 2017—ketika ketegangan terakhir di semenanjung itu—memberi amaran Pyongyang akan memulakan semula ujian nuklear dan peluru berpandu antara benua tidak lama lagi.

Kali terakhir Pyongyang menguji peluru berpandu jarak sederhana ialah Hwasong-12 pada 2017, yang menurut penganalisis pada masa itu mampu sampai ke kawasan AS di Guam.

Siri ujian senjata pada 2022 dilakukan pada tempoh yang sensitif di rantau ini, dengan satu-satunya sekutu utama Kim, China, akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan dan Korea Selatan bersiap sedia untuk pilihan raya presiden pada Mac. – AFP, 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen