Hujan lebat di Brazil ragut 18 nyawa


Brazil terjejas teruk oleh beberapa bencana besar berkaitan cuaca sejak musim hujan bermula pada Oktober. – Gambar EPA, 31 Januari, 2022.

HUJAN lebat di negeri Sao Paulo, Brazil dari Jumaat hingga Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terkorban, kata pihak berkuasa.

“Sejak Jumaat lalu, cuaca buruk menyebabkan 18 kematian, termasuk tujuh kanak-kanak dan menyebabkan kira-kira 500 orang kehilangan tempat tinggal,” kata kerajaan negeri Sao Paulo, memetik badan Pertahanan Awam.

Selepas terbang melintasi kawasan yang terjejas, gabenor Joao Doria mengumumkan beliau meluluskan 15 juta real (AS$2.7 juta) untuk membantu 10 bandar yang paling terjejas dan 645 majlis perbandaran di negeri paling padat di Brazil, dengan  46 juta penduduk.

Doria menyatakan solidariti dengan keluarga 18 mangsa.

Daripada mangsa, 11 maut pada Ahad selepas tanah runtuh menimbus beberapa rumah di bandar di pedalaman negeri itu, lapor media tempatan.

Pertahanan Awam berkata terdapat sembilan cedera dan lima hilang.

Sebuah balai polis, jejambat dan rumah di perbandaran Franco da Rocha dinaiki air.

Di Embu das Artes tanah runtuh mengorbankan seorang wanita dan dua anaknya berusia 4 dan 21 tahun.

Hujan lebat dilaporkan di bandar Sao Paulo yang mempunyai 12 juta penduduk tetapi tanpa sebarang musibah besar berlaku.

Pertahanan Awam berkata “terdapat banjir, pokok tumbang, dinding dan tanah runtuh di seluruh negeri akibat hujan.

Brazil terjejas teruk oleh beberapa bencana besar berkaitan cuaca sejak musim hujan bermula pada Oktober.

Di Bahia utara, 24 orang maut dan 19 lagi di tenggara negeri Minas Gerais, yang menyaksikan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal. – AFP, 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen