Mahkamah Mesir hukum mati 10 anggota Ikhwanul Muslimin


Seorang daripada 10 defendan anggota Ikhwanul Muslimin semasa perbicaraan mereka di kompleks mahkamah Tora, Kaherah, semalam. – Gambar AFP, 31 Januari, 2022.

MAHKAMAH Mesir pada Ahad menjatuhkan hukuman mati kepada 10 anggota kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan selepas didapati bersalah melakukan keganasan terhadap pegawai keselamatan pada 2015, kata sumber kehakiman.

Kes itu kini akan dirujuk kepada Mufti Besar, pihak berkuasa agama tertinggi Mesir—formaliti bagi setiap kes melibatkan hukuman mati—sebelum mahkamah bermesyuarat pada 19 Jun untuk mengesahkan hukuman itu.

Daripada 10 lelaki itu, sembilan berada dalam tahanan manakala seorang dijatuhkan hukuman tanpa kehadirannya, kata sumber itu.

Mereka dituduh melakukan pelbagai insiden keganasan terhadap polis pada 2015—tempoh yang menyaksikan peningkatan dalam serangan yang menyasarkan pasukan keselamatan.

Mesir mengharamkan kumpulan Ikhwanul Muslimin pada 2013 dan mengisytiharkannya sebagai organisasi pengganas, susulan penggulingan tentera bekas presiden Mohamed Morsi.

Jeneral yang kemudian menjadi presiden Abdel Fattah al-Sisi mengetuai penyingkiran Morsi, menjalankan tindakan keras terhadap kumpulan itu, memenjarakan ribuan ahli termasuk ketua tertingginya.

Morsi meninggal dunia ketika berada dalam tahanan pada Jun 2019 selepas jatuh sakit semasa perbicaraan mahkamah.

Kaherah menjatuhkan hukuman mati atau penjara yang panjang selepas perbicaraan besar-besaran yang mendapat kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hukuman mati bagi banduan di Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, dilaksanakan dengan cara gantung.

Mesir melaksanakan hukuman mati ketiga tertinggi yang diketahui di dunia tahun lalu, selepas China dan Iran, menurut Amnesty International.

Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928 menafikan sebarang kaitan dengan keganasan yang dituduh oleh kerajaan.

Ia memberi inspirasi kepada pergerakan dan parti politik di seluruh dunia Islam. – AFP, 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen