Rundingan nuklear Iran perlu dipercepatkan, kata presiden Perancis


Dalam perbincangan dengan Presiden Iran Ebrahim Raisi, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengulangi kenyataannya sebelum ini menggesa kemajuan rundingan nuklear dengan negara majoriti Syiah itu dipercepatkan. – Gambar EPA, 30 Januari, 2022.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron menekankan “keperluan mempercepatkan” usaha mencapai kemajuan rundingan nuklear Iran, ketika panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran Ebrahim Raisi, kata pembantunya pada Ahad.

Panggilan Macron dengan Raisi pada Sabtu dibuat sehari selepas pengantara Kesatuan Eropah (EU) itu berkata pusingan rundingan terbaharu di Vienna dihentikan sementara sambil menggesa “keputusan politik” bagi memecahkan kebuntuan.

Diplomat telah bertemu di ibu negara Austria dalam mencari kejayaan bagi memulihkan perjanjian 2015 melibatkan Iran, Amerika Syarikat, Britain, China, Perancis, Jerman dan Rusia.

“Presiden telah mengulangi keyakinannya bahawa penyelesaian diplomatik adalah mungkin dan penting selain menegaskan sebarang perjanjian memerlukan komitmen jelas dan mencukupi daripada semua pihak,” kata pejabat presiden Perancis dalam satu kenyataan.

“Beberapa bulan selepas rundingan disambung semula di Vienna, (Macron) menegaskan keperluan untuk mempercepatkannya bagi mencapai kemajuan ketara dalam konteks ini,” katanya.

Semasa “pertukaran panjang” dengan rakan sejawatannya dari Iran, Macron menekankan “keperluan bagi Iran untuk menunjukkan pendekatan yang membina dan kembali kepada pelaksanaan sepenuhnya”.

Presiden Iran, dalam satu kenyataan ringkas selepas panggilan itu, berkata Tehran telah membuktikan kesediaan dan keazamannya untuk mencapai perjanjian yang dirundingkan.

Komitmen Barat untuk menghidupkan semula perjanjian 2015 perlu memasukkan penarikan sekatan Barat dan prosedur pengesahan proses itu, katanya. – AFP, 30 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen