PIHAK kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menilai semula kebenaran untuk pelajar berada di kelas di sekolah dan di kampus di universiti untuk proses pengajaran secara bersemuka atau kehadiran secara fizikal memandangkan keadaan penularan virus Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda yang benar-benar stabil dan memuaskan.
.jpg)
Ini ditambah lagi dengan kemunculan varian baharu virus berkenaan seperti Omicron yang telah menyebabkan seluruh dunia kelam kabut.
Pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sepenuhnya perlu diberi pertimbangan utama bagi melindungi keselamatan dan kesihatan para pelajar di sekolah dan di universiti.
Baru-baru ini juga kita telah didedahkan dengan peningkatan jumlah jangkitan virus Covid-19 untuk kluster pendidikan. Berdasarkan perkembangan terkini ini, pihak kerajaan wajar memberi pertimbangan untuk melaksanakan proses PdPR sepenuhnya untuk satu tempoh jangka masa lagi sehingga keadaan semasa benar-benar sesuai dan selamat.
Kita tidak boleh terus membiarkan para pelajar menghadapi risiko jangkitan sama ada dengan berada di kawasan sekolah, asrama, kampus ataupun ketika bergerak ke tempat belajar mereka.
Apa yang penting kini adalah keselamatan dan kesihatan mereka. Paling penting sekali, para pelajar perlu berasa selamat dan selesa bagi membantu mereka memberi fokus sepenuhnya pada proses pembelajaran.
Sekiranya pelajar rasa keadaan masih belum selamat untuk mereka berada di sekolah dan universiti, agak sukar untuk mereka memberi fokus terhadap proses pembelajaran mereka di sekolah atau di universiti.
Oleh itu, pihak yang berkaitan perlu memberi pertimbangan untuk melaksanakan semula proses PdPR secara dalam talian.
Tidak menjadi satu masalah yang besar untuk melaksanakan semula proses PdPR secara dalam talian memandangkan ia pernah dilaksanakan hampir dua tahun sebelum ini.
Semua pihak yang berkaitan sudah pun memiliki pengalaman dan kemahiran untuk menggunakan proses ini dengan sebaiknya dan dengan lancar.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan rungutan terhadap PdPR seperti yang telah dilaporkan tidak beberapa lama dulu, ia masih boleh ditambah baik dengan kadar segera.
Pihak KPM dan KPT perlu wujudkan pelan B dengan segera sekiranya penularan kes jangkitan virus Covid-19 masih banyak berlaku, terutamanya jika ia mula menular di sekolah dan di universiti.
Pelan B ini perlu dihebahkan kepada semua pelajar dan ibu bapa dengan segera supaya mereka dapat mengambil segala langkah awal untuk bersedia.
Perlu diketahui, pembukaan sekolah boleh mengundang implikasi besar kepada para pelajar dan ibu bapa terutamanya dari aspek kewangan.
Pembukaan universiti turut boleh mengundang implikasi yang sama kepada para penuntut terutamanya kepada penuntut yang berasal dari kawasan jauh dari tempat pengajian mereka.
Sekiranya sekolah dan universiti terpaksa ditutup kelak selepas segala proses perbelanjaan, pembelian dan perjalanan pulang semula ke universiti dilakukan, ia akan menyebabkan ramai pihak kecewa dan keadaan juga boleh menjadi kelam kabut untuk para pelajar dan keluarga mereka.
Apa jua keputusan yang ingin diambil kelak perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar.
Semua pihak juga harus bersiap sedia dari segi mental dan emosi sekiranya diarah untuk melaksanakan PdPR seperti pada 2020 dan 2021.
Memandangkan virus Covid-19 dan varian baharu yang muncul terus menghantui kehidupan kita semua, pihak kerajaan perlu merangka satu polisi jangka panjang untuk jadikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian sebagai dasar utama sistem pendidikan.
Walaupun sudah terdapat sedikit usaha yang diambil oleh pihak kerajaan semenjak beberapa tahun yang lalu bagi melaksanakan sepenuhnya proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini namun tidak semua pihak benar-benar menggunakannya.
Hanya apabila keadaan sudah menjadi terpaksa akibat daripada penularan virus Covid-19 bermula pada awal tahun 2020 yang lalu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), barulah semua pihak menggunakan pelbagai jenis kemudahan aplikasi dan teknologi sedia ada untuk menjalankan aktiviti harian mereka, dan ini termasuklah melakukan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini.
Proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini membawa banyak faedah dan manfaat kepada semua pihak terutamanya dari aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan seperti kekurangan akses kepada internet serta ketiadaan kemudahan atau aplikasi, namun ia tidak seharusnya dilihat dan dijadikan sebagai batu penghalang utama bagi melaksanakan sepenuhnya proses pengajaran dan pembelajaran.
Pihak kerajaan terutamanya kementerian yang berkaitan perlu menyiasat segala rungutan yang diterima mereka daripada guru, pensyarah dan pelajar serta melakukan proses penambahbaikan dengan segera bagi memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran moden ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. – 30 Januari, 2022.
* Dr Muzaffar Syah Mallow, pensyarah Fakulti Syariah & Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen