Politik setan dan pilihan raya


Haris Hauzah

MALAYSIA memang sebuah negara yang aneh. Kepelikannya malah membuat kita jadi buntu.

Entah bagaimana negara sekaya Malaysia boleh tergelincir, jatuh, runtuh, ketinggalan dan terperosok menjadi corot berbanding negara-negara Asean lain yang dulunya negara ini dahului.

Luar biasanya hasil bumi negara ini boleh saja digambarkan dengan satu kata: kaya.

Dikurniai dengan limpahan sumber alam dan hasil bumi yang lumayan, kesuburan tanahnya bahkan cocok untuk banyak jenis tanaman. Malah kekuatan sumber manusianya punyai keupayaan untuk dimaju dan dipermodenkan.

Selain gas dan minyak, Malaysia memiliki kekayaan hasil laut yang sebetulnya cukup menggamamkan. Segala kekayaan galian yang berlonggok atas daratan negara ini termasuk sumber alam lain seperti hutan yang luas adalah khazanah paling bernilai. 

Tapi entah mengapa Malaysia yang dahulunya pesat membangun kini menjadi sebuah negara Asean yang ketinggalan.

Entah bagaimana negara kita boleh terhumban ke lembah busuk lagi membusukkan – terpeleset ke jurang celaka yang penuh ludah, kahak, nanah, darah dan taik yang busuk lagi membusukkan.

Pramoedya Ananta Toer dalam karyanya Bumi Manusia mencatatkan: “Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai.”

Demikianlah, kita harus menjadi manusia yang bukan saja berpelajaran tetapi tumbuh membesar sebagai manusia berpendidikan yang cerdik akal dan pandai jiwanya kerana dicerahkan dengan kekuatan sastera dan halus kesenian. 

Bak kata Pramoedya, tanpa kecintaan terhadap kesusasteraan, kita akan hanya jadi haiwan yang tak tahu erti kezaliman. Berpelajaran tapi gagal memahami erti ketidakadilan
 lalu semudahnya diperbudak dan diperbodohkan oleh yang namanya kepolitikan setan.

Ini mengingatkan kita kepada sepenggal ayat dalam Shit tulisan sasterawan negara kedua yang bukunya diharamkan kerajaan.

Kata Shahnon Ahmad: “Politik tidak sebusuk taik tapi orang yang membusukkan politik itulah yang sebusuk taik. Apalagilah yang paling busuk kalau bukan taik? Shit membicarakan kebusukan orang-orang politik yang busuk lagi membusukkan seperti taik inilah.”

Katanya lagi: “Politik pada dasarnya adalah wadah yang murni, yang mulia dan status amat tinggi. Politik adalah ilmu tentang dasar dan kaedah memerintah sesebuah negara. Politik adalah suci. Tapi bila ada yang mengucap bahwa dalam politik, sahabat boleh jadi musuh sertamerta, musuh boleh jadi sahabat sertamerta, sahabat dan musuh dalam politik tak pernah kekal, maka ternyata yang berucap itu cuba membusukkan politik yang suci lagi mulia itu.”

Kepolitikan setan ini sebenarnya sudah banyak kali diperingatkan. Memang sudah terlalu lama rakyat membiarkan kesucian agama dan perkauman ditunggang oleh kepolitikan setan.

Politik setan ini dibiar jadi anutan. Mereka dibenarkan hadir kepada rakyat sebagai kertas dan peti-peti undi yang kemudian muncul sebagai katak-katak bajingan.

Politikus-politikus bajingan ini sesedapnya merampas kemurnian demokrasi, sampai kebanyakan rakyat jadi jijik dan meluat dengan politik hingga ada yang serik dan enggan untuk turun lagi ke pusat-pusat pengundian.

Politik setan permainan politikus-politikus bajingan itulah yang menjerumuskan negara ini ke jurang pengkhianatan. Jatuh ke lembah skandal penuh korup dan rasuah yang tak pernah mereka malukan. 

Rakyat harus mengerti dan faham bahawa sandiwara pilihan raya yang mereka sedang usahakan satu demi satu sampai PRU15 itu hanyalah sofistikated kepolitikan setan.

Tahapan sofistikated dan kecanggihan politik kita hari ini bukanlah menguruskan rakyat dan masyarakat, sebaliknya hanya usaha-usaha politikus bajingan mendapatkan kekuasaan.

Seperti ingatan Shahnon dalam Shit yang diharamkan: “Ah! Biarkan saja seluruh ketulan rakyat menuduhnya sebagai PM pencarut agung tak terbilang dan tak ada tandingan di mana-mana tapi yang penting ialah aku tetap berada di dalam dan aku tetap menjadi kepala taik barisan.”

Kalau kita mendengar ada orang politik yang berkata pembubaran DUN itu dan pembubaran DUN ini selari dengan aspirasi rakyat masa kini, ia hanyalah sejenis mekanisme tunggangan kepolitikan setan untuk terus mengekalkan kekuasaan yang mereka dapat daripada kerja-kerja licik pengkhianatan.

Sabah, Sarawak, Melaka dan paling terbaru Johor hanyalah padang permainan tempat orang-orang politik bajingan menunjukkan siapa antara mereka yang paling gagah dan kebal; siapa dalam kalangan mereka yang paling patut disembah dan diletakkan kiblat ketaatan – sedangkan mereka ini ular, musang, biawak dan katak yang tak pernah pedulikan kemiskinan dan kepayahan rakyat.

Nah, kerana itulah walaupun negara ini kaya raya dengan pelbagai hasil dan sumber, rakyatnya tetap juga ketinggalan dan terbiar dalam kemiskinan. Segala kemelut dan kepincangan negara enggan pula dibincang Parlimen bagi menjernihkan segala kekeruhan pandangan.

Negara ini meraikan politik dan demokrasi yang penuh dengan kebodohan dan pembodohan. Kerana kita membiarkan kebodohan berkuasa dan pembodohan diteruskan, inilah yang mencampak kita ke lembah negara penuh kesialan.

Politik dan pilihan raya di Malaysia kini sampai ke suatu kesimpulan. Seandainya generasi politikus pertama mahu membina negara bebas, merdeka, adil dan membahagiakan, generasi keduanya lebih seronok membahagi-bahagikan kekayaan negara untuk diratah sesama kawan.

Sementara generasi ketiga politikus menjadikan politik hanya lubuk tempat mereka jadi hartawan, jutawan, berpengaruh dan terkenal. 

Generasi politikus kedua dan ketiga inilah yang kini hidup dalam pembuluh darah sistem demokrasi kita sekarang. Mereka dilonggok-longokkan dalam macam-macam parti politik untuk dipertandingkan.

Kekorupan inilah yang mencampakkan kita ke lembah busuk lagi membusukkan yang dipenuhi ludah-ludah ucapan, kahak-kahak penipuan, nanah-nanah pengkhianatan, darah-darah fitnah dan taik-taik politikus yang akan disumbat ke mulut rakyat sebagai makanan. – 30 Januari, 2022.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen