PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi komitmen terhadap prinsip penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik Palestin-Israel selama berdekad-dekad, lapor Agensi Anadolu.
“PBB telah berusaha dan akan terus bertindak berdasarkan penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin, hidup berjiran dalam keadaan aman dan selamat,” kata timbalan jurucakap PBB Farhan Haq kepada pemberita.
Haq menjawab soalan mengenai kenyataan Perdana Menteri Israel Naftali Bennett yang berikrar tidak akan membenarkan penubuhan negara Palestin sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Kami telah mendengar perkara yang berbeza yang diperkatakan oleh orang dan pihak yang berlainan selama ini. Tetapi kami terus mematuhi prinsip itu, kerana kami percaya bahawa ia adalah satu-satunya cara yang realistik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat di sana,” tambahnya.
Bennett pada Khamis berkata: “selagi saya menjadi perdana menteri, tidak akan ada pelaksanaan perjanjian Oslo.”
Pada 1993, Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Israel menandatangani perjanjian Oslo, yang membenarkan rakyat Palestin untuk mengurus pemerintahan sendiri, tetapi rundingan itu gagal menyelesaikan perjanjian itu dan gagal mewujudkan sebuah negara Palestin.
Rundingan damai antara kedua-dua pihak gagal pada April 2014 kerana keengganan Israel menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan tahanan Palestin yang dipenjarakan sebelum 1993. – Bernama, 29 Januari, 2022.
Komen